Subramaniam (kanan) bersama peserta yoga sempena sambutan Hari Yoga Antarabangsa 2016 di Stadium Badminton, Cheras.

Kuala Lumpur: Peratusan tinggi pengundi India yang keluar mengundi dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi bukti isyarat jelas terhadap penerimaan positif komuniti itu terhadap BN.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam gembira dengan perkembangan itu kerana ia menunjukkan bahawa komuniti India masih lagi menaruh harapan terhadap perjuangan BN.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, ia memberi mesej penting kepada BN secara keseluruhan dan membuktikan bahawa usaha MIC mendekati komuniti itu menerusi pelbagai program dilaksanakan membuahkan hasil.

“Kita gembira, pertama, kerana peratusan pengundi India yang keluar mengundi agak tinggi iaitu sekitar 70 hingga 75 peratus. Daripada peratusan itu, mereka yang menyokong BN juga tinggi iaitu sebanyak 75 peratus.

“Ini bermakna usaha MIC untuk mendekati komuniti India berhasil dan penerimaan kepada BN amat kukuh. Mesej ini amat penting kepada BN.

“Namun, kita perlu sedar bahawa sokongan yang diberikan juga bermakna mereka menaruh harapan kepada BN. Jadi, ia menjadi tanggungjawab kita untuk memenuhi setiap harapan mereka bagi memastikan sokongan yang berterusan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan sambutan Hari Yoga Antarabangsa, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam berkata, pihaknya mengakui masih terdapat banyak isu dalam komuniti India yang perlu diberi perhatian dan diselesaikan oleh BN.

“Kita yakin untuk terus mendekati kaum India namun kita akui masih terdapat isu dalam kalangan komuniti yang perlu ditangani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:11 AM