ANGGOTA bomba menggunakan tangga untuk menurunkan mayat mangsa.
Mohd Shukor Amin


Sabak Bernam: “Saya mahu menyelamatkannya, namun api marak terlalu pantas selain asap tebal menghalang saya masuk ke dalam rumah,” kata peniaga kedai runcit, Gan Soon Fong, 29, yang gagal menyelamatkan ibu saudaranya, Gan Kow Hok, 60-an.

Dalam kejadian jam 8.50 malam kelmarin, mangsa yang juga orang kelainan upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Haji Hasyim, di sini.

Soon Fong berkata, dia dan ibunya, Ong Geik Heng, 65, turut menghuni rumah sama, namun tiada di kediaman itu ketika kejadian.

“Saya yang berada di pekan terkejut dihubungi seorang rakan memaklumkan kebakaran itu dan bergegas pulang untuk menyelamatkan ibu saudara.

“Saya bagaimanapun tidak berupaya dan hanya mampu melihat kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jiran mangsa, Cheong Yew Shing, 27, pula berkata, kebakaran bermula dari bahagian belakang kedai disusuli dengan bunyi letupan.

“Saya segera membawa nenek keluar dan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Sabak Bernam Penguasa Bomba Mohd Saufi Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui oleh anggotanya di bilik tidur di tingkat atas premis berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa turun menggunakan tangga dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat. Nilai kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 11:54 AM