SEBAHAGIAN daripada peserta menjahit beramai-ramai.
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Menjadi satu-satunya peserta lelaki tunggal daripada 73 peserta mewakili Kelantan untuk Program Menjahit Beramai-Ramai untuk Guinness World Records tidak langsung menyebabkan dia malu.

Sebaliknya, Muhammad Faiz Hafifie Ismail, 23, berkata, minat dalam bidang jahitan sejak sekolah menyebabkan dia tekad serius dalam bidang itu, malah menjahit bukan sekadar hobinya semata-mata.

Menurutnya, dia tidak akan mensia-siakan bakat yang ada dan menyambung pengajian di Institut Kemahiran Murni, Pengkalan Chepa selama setahun untuk pengajian formal dalam bidang itu.

“Bidang jahitan memerlukan ketelitian dan ketekunan dalam setiap prosesnya bermula dengan menggunting material sehinggalah siap menjadi pakaian.

“Mewakili Kelantan untuk mencipta rekod itu sangat saya nantikan dan bersyukur terpilih kerana ia memberi pengalaman paling bermakna buat saya.

“Bayangkan 606 peserta Malaysia, Indonesia, Taiwan dan Jepun berkumpul di Putrajaya pada 9 April untuk menjahit. Ia majlis yang cukup mengagumkan,” katanya.

Muhammad Faiz Hafifie ditemui pada majlis penyampaian sijil peserta Program Menjahit Beramai-Ramai Mencipta Guinness World Records yang disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Wan Marzuki Wan Ismail di Dewan Auditorium Kelantan FM di sini, semalam.

Sementara itu, Wan Marzuki berkata, program itu membuktikan golongan wanita mahupun lelaki mampu melakukan sesuatu yang tidak pernah dijangka, sekali gus mencatatkan nama dalam arena antarabangsa.

“Selain itu, peserta turut menerima pendedahan mengenai ‘Business Matching’ dan Program ‘Restyle’ yang dilihat mampu menjana pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 11:58 AM