WARGA kota menaiki perkhidmatan ETS di KL Sentral, Kuala Lumpur.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 356,000 tiket perkhidmatan Intercity dan KTM ETS bagi memudahkan penumpang ke destinasi masing-masing sempena sambutan Aidilfitri ini.

Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Mohd Noordin Kimi berkata, pihaknya menyediakan tiket bagi perjalanan dua minggu sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri.

“Daripada 356,000 tiket yang kami tawarkan, setakat ini 163,000 tiket terjual untuk perjalanan bermula 24 Jun hingga 17 Julai.

“Bagi perjalanan bermula 1 hingga 7 Julai kebanyakan tiket untuk perkhidmatan ETS dan sektor selatan serta utara membabitkan Gemas, Kuala Lumpur, Butterworth dan Padang Besar terjual.

“Bagaimanapun, bagi perjalanan sektor Kuala Lumpur-Ipoh dan Ipoh-Kuala Lumpur tiket masih tersedia untuk jualan,” katanya.

Menurutnya, KTMB menyediakan tren tambahan bagi perkhidmatan ETS 36 kali pada musim perayaan bermula 1 hingga 18 Julai ini bagi menampung keperluan penumpang.

“Bermula 30 Jun hingga 11 Julai ini kami menyediakan perkhidmatan tren khas raya bercirikan pelancongan bagi perjalanan berselang seli setiap hari Kuala Lumpur ke Tumpat.

“Ini konsep terbaru yang diperkenalkan dan selepas musim perayaan ini KTMB berhasrat meneruskan konsep bercirikan pelancongan ini bagi membawa pelancong luar ke pantai timur.

“Untuk promosi permulaan, kami menyediakan makanan dan cenderahati kepada penumpang tren khas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 7:43 AM