Arbani bersama Siti Rohani melayan pelanggan yang memilih pakaian di rumah mereka.
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Seorang bekas pekerja kontrak mengambil keputusan menjual pakaian terpakai dibeli pada harga yang murah bagi membantu golongan kurang berkemampuan di sekitar daerah ini.

Arbani Abdullah, 48, bersama isteri Siti Rohani Mohd Hashim, 35, akan membeli pakaian di sekitar daerah ini dan dijual kembali pada harga murah malah membenarkan pelanggan menentukan sendiri bayaran sejak hampir tiga tahun lalu.

Selain pakaian pasangan itu turut menjual novel, kasut, anak patung serta tudung dan setiap pakaian akan dibasuh bersama pewangi dan sehingga kini 48 kotak pakaian dengan anggaran 2,400 stok pakaian di rumah mereka di Lorong Teluk Haji Salim, Kampung Datuk Seri Kamarudin (KDSK), di sini yang dijadikan tempat jualan.

Arbani yang pernah melalui hidup sukar suatu masa dahulu berazam membantu golongan memerlukan.

Katanya, selain dari membeli pakaian tidak digunakan ada juga beberapa individu yang bermurah hati menyumbangkan pakaian.

“Jika pakaian itu hasil sumbangan kami tidak akan menjualnya dan hanya menjual pakaian sendiri atau yang dibeli sahaja melainkan pemiliknya mengizinkan pakaian itu dijual manakala buku rujukan hanya diberikan sahaja kepada sesiapa yang mahu.

“Kami membeli pakaian dengan harga murah serta dijual kembali juga dengan harga murah dan kami dapat beramal di samping mencari pendapatan tambahan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Bapa kepada dua anak itu, menjual pakaian terpakai itu hasil cetusan ideanya ketika diminta isteri membakar pakaian yang masih dalam keadaan baik dan sudah tidak digunakan.

Katanya, kesukaran hidup menjadikan dia sedar untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang sukar membeli pakaian baru dengan harga yang tinggi.

“Sejak dari itu kami memulakan perniagaan biarpun bukan dari golongan berada saya tidak menganggap ia penghalang untuk membantu golongan kurang berkemampuan lain.

“Setiap pakaian yang dijual akan ditapis kerana kita mengutamakan kualiti dan harga pakaian biasanya dijual RM5 ke bawah mengikut jenis pakaian,” katanya.

Arbani berkata, dia tidak menyangka sambutan diterima amat menggalakkan dan rumahnya sering dikunjungi orang ramai sehingga jam 1 pagi.

“Keuntungan pertama yang diperoleh ketika mula berniaga hanya RM68 dan sehingga kini saya memperolehi RM60 sehari walaupun pendapatan tidak seberapa namun hati saya tenang dan rezeki lain juga murah.

“Kami juga mengalu-alukan orang ramai yang ingin menjual atau menyumbangkan pakaian di sini,” katanya yang turut menanam pelbagai jenis sayuran seperti kacang panjang, terung dan tebu yang turut disedekahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 7:50 AM