Hasnah membantu Abu Kassim yang tidak mampu berjalan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya tiga tahun lalu.

Alor Gajah: Seorang wanita di Kampung Londang, Masjid Tanah di sini, terpaksa membuat persiapan Aidilfitri seorang diri tanpa dibantu suami yang mengalami gangguan kesihatan termasuk sukar berjalan sejak tiga tahun lalu.

Hasnah Embi, 57, terpaksa menghadapi cabaran itu bersendirian berikutan suami, Abu Kassim Jantan, 57, mengalami kesukaran berjalan kesan paha kirinya yang patah akibat kemalangan.

Abu Kassim yang pernah berkhidmat sebagai Pembantu Am Rendah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kem Terendak, Sungai Udang kini hanya bergantung kepada tongkat dan kerusi roda untuk bergerak.

Abu Kassim juga disahkan doktor menghadapi masalah komplikasi hati bengkak selain pernah menjalani pembedahan akibat injap jantung tidak berfungsi dengan sempurna serta barah usus, masing-masing pada 2005 dan 2013.

Berikutan itu, Hasnah terpaksa membuat persiapan Aidilfitri seperti mengecat pagar seorang diri kerana suaminya tidak mampu melakukan kerja berat.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dua anaknya tinggal berasingan kerana sudah berkeluarga manakala dua lagi, masing-masing sibuk bekerja sebagai mekanik dan pemandu lori.

“Walaupun terpaksa membuat persiapan Aidilfitri seorang diri tanpa bantuan suami, saya reda dengan ketentuan Allah kerana setiap apa diberikan ada hikmahnya.

“Selepas menjalani pembedahan usus, kami sekali lagi diuji apabila suami terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 28 Februari 2013. Ketika itu motosikal kami berlanggar dengan sebuah motosikal lain ketika membelok ke kanan untuk masuk ke lorong rumah,” katanya.

Hasnah berkata, dia yang membonceng hanya cedera ringan, namun suaminya terlantar dua bulan di Hospital Melaka akibat patah paha kiri menyebabkannya tidak mampu untuk berdiri lama.

Menurutnya, suaminya merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempertimbangkan permohonannya mendapatkan status Orang Kurang Upaya (OKU) dikemukakan kepada JKM Alor Gajah tahun lalu dan awal tahun ini.

Sementara itu, pegawai JKM Alor Gajah yang enggan namanya disiarkan berkata, pihaknya sedang meneliti permohonan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 7:03 AM