ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran bermula jam 4 petang.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran bermula jam 4 petang.
myMetro

Johor Bahru: Sebuah kedai menjual barangan sembahyang Cina di Jalan Tanjong, Taman Dato’ Penggawa Barat di sini, musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kedai dua tingkat berkenaan terbakar keseluruhannya namun pemilik premis yang juga pasangan suami isteri berjaya menyelamatkan diri.

Menurut pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Teo, 60-an, berkata, dia berada di kaki lima hadapan kedai untuk mengambil bunga sebelum menyedari berlaku kebakaran di bahagian belakang tingkat bawah kedainya.

Dia kemudian cuba memberitahu suaminya di tingkat atas kedai dan bersyukur lelaki itu menyedari kebakaran terbabit dan sempat berlari turun.

“Saya baru keluar ke depan kedai untuk ambil bunga, tiba-tiba nampak ada api di dalam kedai.

“Suami berada di tingkat atas menyedari berlaku kebakaran dan dengan segera berlari turun,” katanya yang sudah mengusahakan perniagaan itu sejak 28 tahun lalu.

Teo berkata, beberapa tahun lalu kedainya itu pernah terjejas akibat kebakaran kedai di sebelahnya, namun tidak sangka premis itu kini sudah musnah keseluruhannya.

Dalam keadaan cemas, Teo berkata, hanya beberapa dokumen penting perniagaan yang dapat dibawa keluar, tetapi barangan peribadi termasuk kad pengenalannya tidak dapat diselamatkan.

“Terdapat banyak barangan di dalam kedai memandangkan saya baru menambah stok untuk menghadapi Hari ‘Hungry Ghost’ pada bulan ini, namun semuanya sudah terbakar,” katanya yang tidak dapat menganggarkan kerugian yang dialami.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Khairul Azhar Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.13 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:20 AM