KAKITANGAN PTPTN mengagihkan beg makanan kepada penumpang bas ekspres di Terminal Pengangkutan Awam, Larkin, Johor.
AHMAD Dasuki (depan kanan) menyampaikan beg cenderahati kepada Nur Irdina Syahirah Mohd Shahizat, 9, dalam majlis Kempen Selamat Sampai dianjurkan oleh PTPTN Pulau Pinang di Stesen KTM Butterworth, Pulau Pinang.
SHAMSUL Anuar (kanan) memberi cenderahati bertemakan Raikan Raya SSPN-i Plus #Mustduit kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan awam di KL Sentral.
KAKITANGAN serta maskot PTPTN mengagihkan beg cenderahati kepada orang ramai di KL Sentral.
Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Pendedahan mengenai kepentingan menabung dan cara menguruskan wang dengan bijak wajar dipupuk sejak kecil, sekali gus diharap mampu melahirkan generasi muda celik kewangan.

Usaha ini boleh dimulakan dan dilakukan ibu bapa agar apabila anak dewasa kelak mereka mempunyai sumber kewangan atau simpanan ke menara gading.

Mengambil berat mengenai perkara ini, kerajaan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyeru orang ramai terutama ibu bapa memilih Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) iaitu pelan simpanan pendidikan yang menawarkan perlindungan takaful yang mengikut kemampuan dan komprehensif.

Sempena Aidilfitri ini, PTPTN turut memperkenalkan tema ‘Raikan Raya SSPN-i Plus #MustDuit’ sebagai simbolik untuk sama-sama merasai dan meraikan kemeriahan lebaran di samping menggalakkan seluruh rakyat Malaysia membuat penabungan dengan PTPTN bertujuan pendidikan tinggi anak-anak.

Serentak dengan itu juga, PTPTN turut menganjurkan Kempen #SelamatSampai dan mengagihkan bungkusan cenderahati kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, lebih 4,000 bungkusan cenderahati diagihkan pada kempen yang diadakan selama dua hari itu di enam lokasi berbeza.

“Tahun lalu, kami adakan di hentian Rehat dan Rawat (R&R) utama sebagai lokasi pengagihan bungkusan cenderahati tetapi pada kali ini kita memberikannya kepada penumpang yang menaiki pengangkutan awam seperti kereta api serta bas untuk pulang ke kampung.

“Sambil mereka duduk di sepanjang perjalanan, mereka boleh membaca risalah mengenai SSPN-i Plus selain turut menerima sampul raya istimewa PTPTN, penutup mata, bantal angin dan air mineral,” katanya ketika ditemui di Stesen KL Sentral.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN Wan Ahmad Wan Yusoff, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid, Timbalan Ketua Eksekutif (Kewangan dan Khidmat Sokongan) Wan Mustapha Yusoff, Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik Abdul Ghaffar Yusop, Pengurus Besar Cawangan KL Sentral Noor Hasran Mohd Noor dan pegawai serta kakitangan PTPTN.

Selain Stesen KL Sentral, program agihan bungkusan cenderahati ini juga berlangsung di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini; Terminal Bas Sentral, Kuantan, Pahang; Terminal Bas Larkin, Johor; Terminal Bas Sementara Shah Alam, Selangor dan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Butterworth, Pulau Pinang.

Shamsul Anuar berharap, edaran bungkusan cenderahati itu bukan saja dapat memberi maklumat mengenai SSPN-i Plus untuk menjadi pilihan ibu bapa bagi membuat simpanan duit raya anak-anak, tetapi juga dapat memberi keselesaan kepada penumpang sepanjang perjalanan dan selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:34 AM