Jalaludin mengarahkan Awang memetik kelapa di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah semalam.
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


Alor Gajah: Bukan mudah memenuhi pesanan pelanggan yang mahu mendapatkan 5,000 kelapa menjelang Aidilfitri, tetapi tugas itu dapat disempurnakan dengan baik hasil bantuan Awang dan Ali.

Dua beruk berusia tiga tahun milik Mohd Jalaludin Mohd Daud, 25, itu dibeli pada harga RM2,000 seekor dua minggu sebelum Ramadan, tetapi mampu membawa pulangan membanggakan.

Mohd Jalaludin berkata, tiga bulan sebelum Ramadan, rakannya mencadangkan supaya dia membeli beruk yang mahir memetik kelapa daripada penjinak dan pengajar beruk di Bachok, Kelantan.

“Kami pergi ke Bachok dua minggu sebelum puasa dan membeli dua beruk jantan, masing-masing bernama Awang dan Ali yang sama umur.

“Saya mohon lesen memelihara beruk daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan mengajar haiwan itu cara memetik kelapa dengan dialek Melaka kerana dia diajar dalam dialek Kelantan,” katanya ketika membawa ‘Awang’ memetik kelapa di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah semalam.

Dia berkata, sejak menawarkan perkhidmatan membekalkan kelapa kepada peniaga santan di sekitar pekan Masjid Tanah, Sungai Udang, Alor Gajah dan Tampin, dia menerima pesanan membekalkan 5,000 kelapa menjelang Aidilfitri.

Katanya, setakat ini Awang dan Ali memetik 4,000 kelapa di sekitar kampung berkenaan, selain beberapa kampung lain di Masjid Tanah, Alor Gajah dan Tampin.

Mohd Jalaludin yang masih bujang berkata, dia yakin dengan kemampuan Awang’ dan Ali memetik 400 kelapa sehari, baki pesanan 2,000 kelapa lagi mampu dipenuhi menjelang hari ini.

Dia membeli kelapa daripada pemilik pokok itu pada harga RM1 sebiji dan menjualnya kepada peniaga santan pada harga RM1.20 sebiji bagi kelapa yang belum dikupas dan RM1.40 sebiji untuk yang siap dikupas.

Bagaimanapun, dia menghadapi kesukaran membeli kelapa daripada pemilik pokok di luar Masjid Tanah seperti di Tampin dan beberapa daerah lain di Negeri Sembilan.

“Mereka tidak percaya saya benar-benar mahu membeli kelapa. Apabila saya berjumpa mereka, mereka cepat-cepat masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu seolah-olah saya penyamun.

“Saya tunjukkan beruk yang saya bawa untuk memetik pokok kelapa, mereka tetap tidak percaya melainkan saya datang bersama penduduk kampung itu yang dikenali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 9:36 AM