Malek (kiri) bersama rakannya iaitu jurulatih pasukan bola sepak Selangor, Zainal Abidin Hassan (dua dari kiri) dan jurulatih pasukan bola sepak Perlis, Dollah Salleh (empat dari kiri) menyambut Aidilfitri.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: “Lebih 20 tahun saya menyambut Aidilfitri sebagai individu yang dipalit skandal rasuah hingga malu bertemu orang ramai,” kata bekas pemain Selangor, Malek Rahman, 47.

Namun tahun ini semuanya berubah bagi Malek apabila menyambut Aidilfitri dengan penuh gembira dan bersyukur apabila tidak lagi memegang gelaran sebagai ‘orang kena gantung’.

Beliau berkata, sebelum ini sambutan Aidilfitri suram dan hanya memencilkan diri di rumah kerana statusnya sebagai individu yang digantung akibat terbabit dalam skandal rasuah.

“Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pemain yang dikenakan hukuman terbabit kembali aktif dalam sukan bola sepak, Mei lalu menceriakan kami, malah Aidilfitri disambut meriah.

“Sebelum ini, nak jumpa orang ramai pun segan kerana status kita itu (digantung), namun semuanya sudah berubah dan tidak lagi dicop sebagai orang digantung,” katanya.

Malek bersama 77 bekas pemain bola sepak era 1980-an dibebaskan daripada hukuman pergantungan akibat terbabit dalam skandal rasuah 22 tahun lalu.

Keputusan itu sekali gus memberi ruang dan peluang kepada pemain berkenaan untuk terbabit secara aktif dalam sukan nombor satu negara itu.

Sementara itu, Malek yang juga bekas pemain kebangsaan mengakui, terdapat beberapa pasukan bola sepak mengintainya dan rakan untuk dilantik sebagai pegawai teknikal atau jurulatih.

“Setakat ini, tiada kata putus atau keputusan muktamad daripada pasukan berkenaan, cuma sekadar cakap mulut saja, tiada lagi hitam putih daripada mereka.

“Saya bersedia mencurahkan ilmu dan pengalaman yang ada untuk dimanfaatkan pemain muda, sekali gus diharap mampu meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Bagi bekas pemain Kedah, Faridzuan Che Hamid, 47, Aidilfitri tahun ini disambut meriah dengan kehadiran rakan yang datang mengucapkan tahniah atas pembebasannya daripada hukuman pergantungan itu.

“Lebih 22 tahun kami menderita akibat pergantungan itu selain malu dan disisihkan masyarakat, Aidilfitri hanya disambut sederhana saja.

“Alhamdulillah, tahun ini saya tidak lagi digelar individu digantung FAM dan bebas untuk terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak negara,” katanya.

Faridzuan berkata, beliau ada berbincang dengan beberapa pasukan untuk menggunakan khidmatnya sebagai jurulatih atau pegawai teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 7:34 AM