ADAM Corrie dan isterinya, Fazima.
ADAM Corrie dan isterinya, Fazima.
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Perbetulkan niat memeluk Islam, kuatkan iltizam untuk menjadi umat soleh dan tidak putus berdoa kepada Allah.

Demikian tiga perkara yang menjadi pegangan Adam Corrie Lee Abdullah, 48, ketika ditanya resipi untuk kekal istiqamah sebagai umat Islam sebenar sebaik memutuskan untuk menganut agama itu sembilan tahun lalu.

Menurut Adam Corrie, tiada yang lebih kuat buat dirinya selain bergantung sepenuhnya kepada Allah seawal ketika membuat keputusan memeluk Islam pada 13 Julai 2007.

Malah, ketika melangsungkan perkahwinan pada November 2008 bersama wanita pilihan, Fazima Mohamed Fuad yang baru saja dikenali beberapa bulan sebelum itu, dia sedar tanggungjawab digalas semakin besar.

Namun, segalanya diserahkan kepada Allah dan percaya Allah adalah sebaik-baik perancang manakala dia perlu terus berusaha dan bertawakal.

“Apabila saya memeluk Islam, saya hanya mendalami agama ini melalui rakan serta agensi yang memberi sokongan kepada saudara baru. Agak mencabar tapi dengan keyakinan kepada Allah, ia dipermudahkan.

“Dugaan demi dugaan menjadi semakin melegakan apabila saya dipertemukan jodoh dengan isteri saya sekarang. Dia begitu banyak membimbing dan bagi saya, inilah kemanisan perkahwinan paling indah, bukan atas dasar cinta semata-mata,” katanya.

Dikelilingi rakan yang terdiri daripada umat Islam sejak kecil, Adam Corrie mengakui tidak pula berasa kekok dengan ibadat yang biasa dilakukan umat Islam misalnya berpuasa.

Realitinya, Adam Corrie sudah mula berpuasa sejak zaman sekolah lagi malah menjelang dewasa, dia masih melakukannya mengikut kesesuaian keadaan dan terbiasa untuk tidak makan atau minum disebabkan kesibukan kerja.

Kini, selepas bergelar Islam, Adam Corrie menanamkan azam lebih tinggi untuk menyempurnakan ibadat wajib dan pada masa sama memperbanyakkan amalan sunat terutama pada bulan Ramadan.

“Seperti biasa, untuk Ramadan tahun ini, saya sudah menyimpan impian pada lebaran tahun lalu lagi, dengan hasrat untuk lakukan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Jika tahun ini hanya mampu solat sunat Tarawih sebanyak 10 malam, tahun depan sekurang-kurangnya 20 malam. Jika hanya mampu berpuasa 20 hari pada tahun ini, tahun depan kenalah puasa penuh.

“Jadi apabila memasuki bulan Ramadan, saya lihat semula hasrat yang sudah ditanam sejak Syawal tahun lalu dan cuba realisasikannya. Pada masa sama, berdoa kepada Allah supaya diberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan akan datang seraya simpan impian baru,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai ibadat puasa, Adam Corrie mengucapkan syukur kerana mampu melakukannya dengan baik khususnya dari segi menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Cuma jelasnya, Ramadan juga memerlukan umat Islam untuk menahan diri daripada melakukan kemungkaran dan itulah cabaran yang wujud sepanjang tempoh itu.

“Kata orang, Ramadan ini lubuk pahala untuk umatnya, jadi inilah masa terbaik untuk kita latih diri sendiri untuk jadi yang terbaik, apa lagi saudara baru.

“Mungkin sukar pada awalnya namun jika kita berjaya, ia pasti lebih mudah untuk kita selepas Ramadan berakhir nanti. Lagi pula, melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan bukanlah dalam bulan Ramadan saja tetapi sepanjang masa.

“Jangan pula bimbang dengan tentangan keluarga. Kebiasaannya ia cuma seketika. Teruslah berdoa supaya dibukakan pintu hati mereka untuk terima keputusan kita. Siapa tahu, mereka juga menuruti langkah kita suatu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 9:48 AM