Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Orang ramai disaran memanfaatkan kesempatan melakukan ziarah bagi mengeratkan hubungan antara keluarga dan rakan pada kesempatan musim perayaan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata, bagi yang tidak berkesempatan berbuat demikian, masih boleh melakukannya kerana Aidilfitri disambut selama sebulan.

“Minggu ini, tentu ramai yang mula kembali ke pejabat untuk bekerja setelah beraya bersama keluarga dan sanak-saudara pada minggu lalu. Ada juga yang mungkin masih bercuti di kampung.

“Walau di mana anda berada, saya harap raya ini anda telah berjaya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan mereka yang tersayang.

“Sekiranya belum, kita beraya selama sebulan, ada masa lagi yang boleh anda luangkan untuk kunjung-mengunjungi dan mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama kita,” katanya dalam catatan di blog rasminya www.najibrazak.com, semalam.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menghadiri majlis rumah terbuka, namun menasihati mereka sentiasa menjaga kesihatan dengan menjamu selera secara sederhana.

“Saya percaya dalam minggu mendatang ini juga, akan ada banyak jemputan untuk rumah terbuka dan sebagainya.

“Penuhilah jemputan itu sekiranya berkesempatan kerana tradisi rumah terbuka ini adalah sebahagian daripada cara kita memeriahkan sambutan Aidilfitri, selain memastikan ikatan silaturahim antara kita terus subur dan mekar.

“Pada masa sama, makanlah segala lemang, pulut, ketupat dan rendang secara bersederhana agar kesihatan kita terpelihara, insya-Allah,” katanya.

Najib yang turut berkongsi gambar kemeriahan sambutan Hari Raya dan rumah terbuka bersama Jemaah menteri di Sri Perdana pada 1 Syawal lalu melahirkan rasa gembira dengan kehadiran hadirin pelbagai kaum yang disifatkan berkonsep 1Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 9:55 AM