Anggota polis trafik mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal yang melakukan kesalahan lalu lintas di Jalan Klang-Banting.
myMetro

Klang: Masih degil memandu melebihi had laju ditetapkan. Itu antara kesalahan utama lalu lintas yang menjadi penyumbang kepada peningkatan 12 peratus jumlah saman dikeluarkan polis sepanjang Op Selamat 9, di negeri ini.

Sehingga kelmarin, 12,458 saman dikeluarkan kepada pengguna kenderaan termasuk penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan sejak operasi khas itu dilaksanakan pada 29 Jun lalu.

Ia mencatatkan peningkatan lebih 1,400 kes berbanding 11,116 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Pegawai Turus Trafik Selangor Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, pemerhatian pihaknya mendapati enam kesalahan utama dilakukan pesalah lalu lintas sepanjang dua minggu Ops Selamat sempena Aidilfitri itu.

“Ia antaranya membabitkan kesalahan menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan (queue), menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong di garisan berkembar.

“Kami mendapati kesalahan memandu kenderaan melebihi had laju ditetapkan menjadi penyumbang tertinggi kesalahan pesalah di seluruh negeri ini,” katanya.

Dalam operasi disertai 13 pegawai dan 40 anggota trafik kontinjen negeri itu, 115 saman dikeluarkan termasuk dua waran tangkap atas kesalahan tidak mempamerkan logo P pada kenderaan.

Lebih 500 kenderaan diperiksa dan kesalahan dikesan rata-ratanya melanggar lampu isyarat, memotong barisan dan tidak mempunyai lesen memandu sepanjang dua jam operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 9:45 AM