Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) bermula tepat jam 6 pagi, semalam.

Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kutipan bermula jam 12.01 tengah malam, tetapi dilanjutkan sehingga jam 6 pagi.

Tinjauan di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh mendapati keadaan lengang daripada kenderaan memandangkan cuti Aidilfitri berakhir, selain masa yang masih awal pagi dengan beberapa kenderaan seperti bas, lori dan kereta dilihat menggunakan LPT2 sama ada ke Kuala Lumpur atau sebaliknya.

Bagaimanapun, kebanyakan pengguna berharap pemilik konsesi LPT2 dapat meningkatkan kualiti jalan dan kemudahan lain supaya setaraf dengan lebuh raya berbayar lain.

Pengguna, Zulkifli Awang, 24, berkata, dia maklum dengan pengumuman kadar tol yang dikutip mulai semalam tetapi berharap kemudahannya dapat ditingkatkan supaya berbaloi dengan apa yang dibayar.

“Saya dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Krai, Kelantan dan ini laluan yang selalu digunakan untuk pulang ke kampung.

“Sebagai pengguna, saya tidak kisah membayar tol tetapi biarlah setimpal dengan bayaran dikenakan.

“Saya lihat masih banyak kekurangan di LPT2 ini berbanding lebuh raya lain dan berharap ia dipertingkatkan segera untuk kemudahan pengguna,” katanya.

Perkara sama diakui Siti Maimunah Ibrahim, 28, yang berharap pemilik konsesi dapat menyediakan kemudahan terbaik kepada pengguna.

Dia yang baru pertama kali menggunakan LPT2 dari Pontian, Johor untuk ke Besut, Terengganu melihat beberapa perkara yang perlu dipandang serius.

“Selain keadaan jalan yang kurang memuaskan, kemudahan seperti stesen minyak dan kedai makan di hentian Rehat dan Rawat (R&R) perlu disediakan.

“Walaupun ada kawasan R&R tetapi ia masih sunyi dan tidak beroperasi sepenuhnya dan sebagai wanita, saya sendiri takut untuk berhenti kerana keadaan itu.

“Sekarang ini, kutipan tol sudah dikenakan dan harap kekurangan yang ada dapat diperbaiki,” katanya.

Bagi Davit Sosilo Mohd Shukor, 36, dia sudah beberapa kali menggunakan LPT2 tetapi tiada banyak yang berubah.

“Kemudahan masih kurang memuaskan dan pengguna sudah dikenakan tol. Bukan tidak bersyukur walaupun saya tahu sudah lama kutipan tol ditangguhkan tetapi sebagai pengguna, kita mahu perkhidmatan diperoleh berbaloi dengan apa yang dibayar,” katanya yang mahu ke Kuala Terengganu.

Kadar tol dikenakan kepada pengguna adalah 12 sen bagi setiap kilometer bagi kenderaan kelas 1 (kereta).

LPT2 sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor, Pahang hingga Kampung Gemuruh, Terengganu itu mempunyai 10 plaza tol di sepanjang laluan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:31 AM
PENGGUNA LPT2 membayar tol di Plaza Tol Kuala Terengganu. Gambar kecil, kadar tol yang dibayar pengguna jalan raya.