KENDERAAN yang digunakan suspek yang menyamar sebagai polis.
BARANGAN yang dirampas daripada suspek.
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Dua lelaki dikesan menyamar sebagai polis untuk mengugut orang ramai dalam kejadian di Kondominium Genting Court, Jalan Genting Klang, Setapak, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, tindakan penjenayah yang memakai vest dengan tulisan ‘polis’ itu gagal selepas ditahan polis ketika cuba menyamun seorang lelaki berusia 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa yang juga penghuni di kondominium berkenaan baru saja keluar dari keretanya.

“Tiba-tiba seorang lelaki yang memakai vest berwarna hijau dengan tertera tulisan polis dan memegang t-baton di tangan kanan mendekati mangsa. ‘Dia kemudian meminta wang daripada mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa terselamat apabila pengawal keselamatan yang berusia 37 tahun datang ke lokasi kejadian dan menahan suspek bersama seorang lagi lelaki,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, terdahulu, suspek menaiki sebuah kereta dan cuba memasuki kondominium berkenaan, bagaimanapun dihalang pengawal keselamatan terbabit.

“Pengawal keselamatan menahan kereta suspek dan memintanya agar mendaftarkan diri. Namun, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Curiga dengan tindak tanduk suspek, pengawal keselamatan meminta suspek menunjukkan kad kuasanya, namun dia enggan sebelum pengawal keselamatan menghubungi polis,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi sebelum pengawal keselamatan menunjukkan kedua-dua suspek bersama kenderaan yang dinaiki mereka.

“Polis meminta suspek menunjukkan kad kuasa namun gagal berbuat demikian sebelum mereka ditahan.

“Semakan mendapati lelaki yang memakai vest tidak mempunyai rekod jenayah manakala rakannya mempunyai tujuh rekod membabitkan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Pemeriksaan pada suspek menemui satu pas bertali yang mempunyai logo PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang tertera namanya sebagai pegawai penyiasat narkotik selain menemui t-baton,” katanya.

Beliau berkata, semakan terhadap kereta juga didapati dilaporkan hilang di Gombak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 dan 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis dan menyamun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 6:12 AM