SEEKOR gajah jantan berusia 40 tahun berjaya ditangkap.
myMetro

Machang: Seekor gajah jantan berusia 40 tahun berjaya ditangkap dan dipindahkan ke Taman Negara Kuala Gandah, Pahang, kelmarin, selepas merosakkan kebun penduduk Kampung Limau Nipis dan Padang Pok Ayam di sini, sejak dua minggu lalu.

Ketua Unit Gajah Pusat Konservasi Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang, Nasharuddin Othman berkata, operasi berkenaan dikendalikan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kuala Krai bersama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

Katanya, operasi dijalankan sejak Jumaat lalu disertai 15 anggota susulan aduan penduduk mengenainya sejak dua minggu lalu.

“Gajah jantan seberat tiga tan itu ditangkap 1.5 kilometer dari kawasan rekreasi Bukit Baka dengan bantuan dua gajah betina denak iaitu Rambai dan Abot.

“Sebelum ini, gajah berkenaan pernah dikesan di sekitar Bukit Yong, Terengganu dan Jeram Linang bersama tiga gajah liar lain,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha untuk menjejaki tiga lagi gajah liar yang masih berkeliaran.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Baka, Mohd Adnan Ismail berkata, kemunculan gajah itu dilihat sejak dua bulan lalu tetapi mula merosakkan tanaman penduduk ketika Ramadan lalu.

“Tiga hektar tanah penduduk kampung yang penuh dengan tanaman kelapa sawit, kebun pisang dan tebu dimusnahkan gajah berkenaan.

“Penduduk kampung kini boleh menarik nafas lega selepas haiwan terbabit ditangkap hari ini (kelmarin) dan kami berterima kasih dengan PERHILITAN kerana berusaha menangkap haiwan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:12 AM