MANGSA bot terbalik yang ditemui terapung dibawa ke Jeti Tanjung Dawai semalam.
MANGSA bot terbalik yang ditemui terapung dibawa ke Jeti Tanjung Dawai semalam.


Sungai Petani: “Kami bertiga terpaksa berpaut pada perut bot yang terbalik sepanjang malam dan hanya mampu berdoa tidak berlaku apa-apa kerana hujan dan angin kencang tidak berhenti.”

Begitu kata nelayan yang juga tekong bot Mohd Noor Ishak, 61, yang ditemui selamat bersama dua awak-awaknya, Mohamad Shukri Samsudin, 28, dan Zainuddin Zainal, 32, selepas bot mereka terbalik akibat dipukul ombak, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, bot dinaiki mereka dalam perjalanan pulang dari Pulau Bidan ke Tanjung Dawai selepas menangkap ikan sebelum tiba-tiba dipukul ombak menyebabkan bot terbalik.

Bagaimanapun, mereka ditemui selamat jam 9.45 pagi semalam selepas kira-kira 18 jam terkandas sebelum diselamatkan sebuah bot pemancing yang kebetulan melalui kawasan Pulau Songsong, dekat sini, yang menemui mereka di atas perut bot terbalik dalam keadaan menggigil kesejukan.

Menurut Mohd Noor, dia bersama dua awak-awaknya keluar dari Tanjung Dawai jam 6.30 pagi kelmarin untuk menangkap ikan sekitar Pulau Bidan dan Songsong sebelum bersiap ingin pulang kira-kira jam 3 petang selepas berjaya menangkap ikan.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang itu keadaan laut bergelora dan hujan lebat namun sebaik tiba di kawasan antara Pulau Bidang dan Tanjung Dawai tiba-tiba bot dipukul ombak besar menyebabkan ia terbalik.

“Saya bersama Zainuddin dan Shukri berpaut pada bot sebelum bertindak menolak bot itu supaya perutnya timbul di atas air dan kami bertiga naik serta duduk di atasnya.

“Saya juga mengambil tali yang ada pada bot dan mengikat kami bertiga agar tidak terpisah dan berdoa supaya ada bot nelayan lain melalui kawasan itu namun hampa sehinggalah dihanyutkan ke Pulau Songsong,” katanya ketika ditemui di Jeti Tanjung Dawai, di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, dia juga terpaksa menunaikan solat sambil duduk di atas perut bot dan berdoa supaya mereka dilindungi dan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

“Zainuddin juga mengalami kejang otot kerana terlalu sejuk menyebabkan kami terpaksa memegangnya supaya tidak jatuh ke dalam laut.

“Sepanjang 18 jam terapung, bot yang kami duduk itu dihanyutkan ombak sekitar perairan antara Kuala Kedah dan Pulau Songsong sahaja namun akhirnya bersyukur apabila ada bot melalui kawasan itu sebelum diselamatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 10:35 AM