PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (tengah) bersama barisan penaja pada majlis Pelancaran Cabaran Go Kart Koperasi bersama ANGKASA 2016 di Balai Berita NSTP, Bangsar.

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan mewujudkan satu dasar baharu untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam kepada 62 tahun.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, dasar umur persaraan daripada 60 tahun kini kepada 62 tahun itu dilihat perlu dilakukan sebagai persediaan untuk negara menjadi negara maju yang mampu bersaing di peringkat global setanding negara maju yang lain.

“Apabila hendak menuju ke negara maju, kita memerlukan dasar yang dapat diterima secara sejagat. Dari segi bakat, negara yang menuju ke negara maju dan telah maju mempunyai dasar untuk penjawat awam dilanjutkan usia persaraan lebih daripada 60 tahun.

“Kumpulan profesional seperti pensyarah, hakim, jurutera dan pakar runding mempunyai kepakaran tertentu, negara akan rugi jika dilepaskan kepakaran ini,” katanya dalam temu bual program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel yang disiarkan secara langsung, semalam.

Beliau berkata, dalam dasar baharu itu penjawat awam boleh membuat pemilihan persaraan pada usia 62 tahun atau lebih awal dari itu tanpa paksaan.

Azih berkata, sebelum ini terdapat penjawat awam yang masih diperlukan perkhidmatan mereka walaupun sudah bersara dan dilantik secara kontrak.

“Ada antara mereka telah bersara tetapi dilantik secara kontrak dan diberi dua bayaran, pencen dan gaji kontrak. Jika dasar ini dilaksanakan, ia akan memberi keuntungan kepada kerajaan,” katanya. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:48 AM