Komarudin  (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci kereta  Mercedes-Benz C200 kepada  Dr Tengku Noraini   (kanan) di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu.
Komarudin (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci kereta Mercedes-Benz C200 kepada Dr Tengku Noraini (kanan) di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: “Saya tidak pernah terfikir akan menang hadiah utama kerana simpanan hanya untuk masa depan anak-anak sahaja,” kata Datin Dr Tengku Noraini Tuan Jaffar, 40, pemenang hadiah utama Cabutan Bulanan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSNSSP) bagi Jun 2016.

Menurut Tengku Noraini, sudah lapan tahun dia dan suaminya, Datuk Dr Kamal- ruzaman Nordin, 41, menunggu untuk mendapatkan hadiah utama dan sejak itu hampir setiap bulan dia akan menyimpan bagi memastikan mereka terpilih.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali memenangi hadiah bulanan seperti Sijil Simpanan Premium bernilai RM50 dan RM100 selain sebuah telefon pintar, dua tahun lalu.

“Bagaimanapun, dua hari lalu saya mendapat panggilan telefon daripada BSN yang mengatakan saya memenangi kereta mewah, Mercedes-Benz C200.

“Alhamdulillah, inilah dikatakan rezeki,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan replika kunci pemenang BSNSSP di pekarangan Hotel Grand Riverview, semalam.

Terdahulu, Pengarah Perniagaan Negeri BSN Kelantan, Komarudin Mustapha menyampaikan replika kunci itu kepada Tengku Noraini yang turut ditemani suami dan anak perempuannya, Nik Nur Sofia Zahira, 8.

Katanya, meskipun dia mampu untuk membeli kereta impian itu, hadiah daripada BSN dianggap rezeki masa depan empat anaknya.

“BSNSSP satu-satunya produk simpanan yang unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding produk simpanan lain,” katanya.

“Ganjaran yang penyimpan terima melebihi nilai simpanan dan berganda melalui pelbagai jenis cabutan yang ditawarkan. Tidak rugi menyimpan dengan BSN,” katanya.

Sementara itu, Komarudin berkata, pihaknya setakat ini menerima penyertaan menggalakkan daripada masyarakat Kelantan termasuk menerusi kempen SSP terbaru, RM1 juta bagi setiap bulan yang bermula 1 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:54 AM