NOH Omar (tengah) melawat gerai makanan ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri KPKT, semalam.
NOH Omar (tengah) melawat gerai makanan ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri KPKT, semalam.
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan transformasi terhadap Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dalam masa terdekat.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, usaha itu dilakukan memastikan keselesaan dan kebajikan tempat tinggal penghuni di kawasan berkenaan.

Katanya, sebagai permulaan, pelaksanaan transformasi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan dilakukan terlebih dahulu di PPR Lembah Subang 1, Selangor sebelum diteruskan ke kawasan perumahan yang lain.

“Lembah Subang 1 mempunyai 3,000 unit rumah dengan penduduk berjumlah sekitar 10,000. Malah, sudah dua tiga kali saya ke sana untuk meninjau masalah di kawasan itu.

“Penduduk di kawasan itu berdepan pelbagai masalah antaranya keadaan lif tidak berfungsi dan tidak diuruskan dengan baik,” katanya pada sidang media majlis sambutan hari raya KPKT di sini, semalam.

Ketika diminta membalas semula kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung konsep sewa beli rumah PPR, Noh berkata, PPR dibina dengan kos RM170,000 seunit, tetapi dijual pada harga RM35,000 seunit manakala lebih RM100,000 lagi ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi.

“Mohamed Azmin kena tahu dan faham sistem perumahan dan saya cabar beliau, jika betul-betul prihatin, kenapa penduduk di situ seolah-olah tidak ada pembelaan.

“Rumah berkenaan dibina oleh Kerajaan Persekutuan dan diserahkan kepada kerajaan negeri Selangor untuk menguruskannya.

“Jika rumah yang diberikan ini tidak reti nak urus, Menteri Besar Selangor perlu belajar dengan KPKT dan lihat bagaimana Kerajaan Persekutuan menguruskannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:55 AM