JENGKAUT yang dirampas UPK Pahang Barat JPNP bersama sepuluh individu dalam Hutan Simpan Ulu Jelai di Sungai Berting.
JENGKAUT yang dirampas UPK Pahang Barat JPNP bersama sepuluh individu dalam Hutan Simpan Ulu Jelai di Sungai Berting.
myMetro

Kuala Lipis: Impian 10 rakan meraih pendapatan lumayan hasil jualan emas tidak menjadi kenyataan apabila cubaan mereka menjalankan aktiviti melombong bahan galian itu secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai di Sungai Berting, dekat sini, dihidu pihak berkuasa.

Tindakan pantas pasukan Unit Penguatkuasa (UPK) Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) turut merampas pelbagai peralatan termasuk sebuah jentolak dipercayai digunakan untuk aktiviti melombong.

Pegawai UPK Pahang Barat JPNP Iqtie Qamar Laila Mohd Gani berkata, cubaan melombong emas dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai oleh 10 individu berusia antara 17 hingga 47 tahun itu diketuai seorang ketua dikenali sebagai ‘tauke’.

Katanya, selepas mendapat maklumat daripada Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, pihaknya melakukan serbuan pada jam 4.30 petang kelmarin dan menahan lelaki terbabit termasuk dua Orang Asli dan seorang warga Indonesia.

Katanya, pemeriksaan mendapati kumpulan terbabit masuk ke dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai tanpa sebarang permit atau kebenaran bertulis daripada PHD Lipis mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

“Ketua kumpulan terbabit mendakwa mereka berada dalam hutan simpan berkenaan semata-mata untuk melakukan kerja membersih Sungai Berting, namun pemeriksaan terhadap surat kelulusan menjalankan kerja mendapati projek itu di kawasan lain.

“Siasatan mendapati kumpulan terbabit baru dua hari berada dalam hutan simpan berkenaan dan mereka akan tinggal di situ antara tiga hingga enam bulan bagi menjalankan aktiviti melombong emas,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, warga Indonesia yang ditahan itu sebelum ini pernah diberkas dalam Hutan Simpan Lakum Lanchang, Temerloh, ketika melakukan aktiviti melombong emas dan dia dipercayai berpengalaman luas mendulang bahan galian berkenaan.

Iqtie Qamar Laila berkata, pemeriksaan di pondok tempat kumpulan terbabit tinggal menemui pelbagai peralatan yang akan digunakan untuk kegiatan melombong seperti dulang, enjin pam air, generator, cangkul dan penyodok.

Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan kaedah menggali tanah bagi membentuk beberapa lubang dan mereka berada di dalamnya sambil mendulang tanah di lapisan bawah iaitu cara biasa dilakukan pelombong haram.

“Sembilan individu yang ditahan didakwa mengikut Akta APN 1984 kerana berada dalam hutan simpan tanpa permit manakala warga Indonesia itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut berikutan dokumen perjalanannya tamat tempoh pada 2013.

“Ini tangkapan terbesar pernah dilakukan JPNP membabitkan kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit, tindakan ini diharap menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya mematuhi undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 9:48 AM