Dua pemandu lori bertindak samseng sejurus ditahan pegawai JPJ di Dengkil.
myMetro

Sepang: “Saya lebih samseng! Tak takut duduk dalam penjara. Dulupun saya pernah kena tangkap ketika operasi Op Cantas (kongsi gelap),” itu antara ayat provokasi dikeluarkan dua pemandu lori sebaik ditahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.

Mereka ditahan ketika didapati memandu lori membawa muatan berlebihan di Kampung Semarang, Jalan Dengkil di sini, kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, dua lelaki berusia 27 tahun dan 33 tahun itu bertindak agresif serta mengajak anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya bertumbuk.

Jurucakap JPJ berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, sepasukan anggotanya yang menjalankan Op Khas Lebih Muatan di lokasi kejadian terserempak dua lori.

“Sebaik melihat kehadiran anggota JPJ, dua pemandu lori itu berhenti di tepi jalan dan melarikan diri. Anggota JPJ yang melihat tindakan itu mengejar lori berkenaan.

“Kedua-dua suspek ditahan pihak JPJ. Ketika diminta menunjukkan lesen memandu dan cukai jalan lori, kedua-dua suspek enggan memberi kerjasama,” katanya.

Menurutnya, dua pemandu itu mendakwa tidak memiliki lesen memandu, malah cukai jalan lori itu juga tamat tempoh.

“Apabila anggota JPJ mahu menyita kenderaan berkenaan, dua lelaki itu mula melakukan provokasi dengan menolak badan anggota JPJ dan mengajak mereka bertumbuk.

“Mereka juga memberitahu tidak takut ditahan kerana pernah diberkas polis melalui operasi ahli kongsi gelap Op Cantas sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, suspek turut mengugut membakar kenderaan JPJ dengan bantuan rakan lain.

“Bagaimanapun anggota Balai Polis Dengkil dipanggil memberi bantuan di lokasi kejadian sebelum kedua-dua suspek ditahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 9:55 AM