Mangsa maut di tempat kejadian selepas badannya digilis sebuah kenderaan di Jalan Parit 6.
Mohd Shukor Amin

[email protected]

Sungai Besar: “Anak abang dah tak ada! Dia kemalangan.” Itu kata seorang rakan kepada Jamari Non, 52, selepas anaknya, Muhammad Zaqur, 13, maut akibat digilis sebuah kereta di Parit 6, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, Muhammad Zaqur meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai terjatuh ke laluan bertentangan ketika menunggang Yamaha LC sebelum sebuah kereta dari arah sama merempuhnya.

Jamari yang menetap di Kampung Sejahtera Parit 7 Timur berkata, rakannya itu memberitahu anak keempat daripada lima beradik itu terbabit dalam kemalangan ketika dia menanam sayur di kebunnya di Parit 6.

“Hanya Allah saja tahu perasaan saya apabila diberitahu anak meninggal dunia apatah lagi arwah anak paling rapat dengan saya,” katanya.

Jamari berkata, dia sempat berseloroh dengan anak lelakinya itu sebelum ke sekolah manakala dia pula hendak ke kebun.

“Biasanya arwah liat hendak bangun tidur melainkan saya terpaksa cucuk tapak kakinya.

“Pagi semalam (kelmarin) dia bangun dengan senang dan selepas saya keluar dari bilik air, dia sudah bersedia hendak mandi,” katanya.

Muhammad Zaqur yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap itu disifatkan peramah dan suka bergurau.

Sementara itu, ibu mangsa, Misrijah Ahmad, 39, berkata, tiada perubahan pelik terhadap tingkah laku anaknya itu melainkan dia lebih pendiam.

“Dia memang periang, tetapi sejak akhir-akhir ini kurang ceria.

“Kali terakhir saya jumpa arwah ketika dia balik sekolah dan dia beritahu banyak makan di sekolah kerana ada jamuan hari raya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 11:01 AM