KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan maut.
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan maut.

Miri: Perjalanan pulang dua sahabat selepas bertemu rakan berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Sungai Liku dekat Jalan Miri-Bintulu lama di sini, jam 6.15 petang kelmarin.

Vivian Miut Dian, 20, dan Augustine Filza Mila, 20, mati di lokasi akibat parah di kepala serta badan.

Pegawai Turus Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, kemalangan berlaku apabila Perodua Viva dinaiki mangsa dirempuh van Toyota Hiace.

Menurutnya, mangsa dari Bandaraya Miri ke Batu Niah manakala van itu dari arah bertentangan.

“Ketika melalui selekoh, Perodua Viva hilang kawalan dan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

“Van gagal mengelak lalu merempuh kereta mangsa di bahagian penumpang,” katanya, semalam.

Alexson berkata, rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit manakala pemandu van cedera ringan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum mayat mereka dituntut keluarga masing-masing,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan
(APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 9:35 AM
Digital NSTP Subscribe