Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pemandu kereta Perodua Kancil dikenali Kemik yang terbabit dalam kes tetak seorang pemandu kereta Honda City dalam kejadian di Jalan Buluh Gading, di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, M Suhaimi Mohd, 31, dari Kampung Kubang Jela, Manir, di sini, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya di hadapan Hakim Mohd Haidar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang parah ke atas mangsa, Noor Hazlim Mamat, 43, menggunakan sebilah parang di Jalan Buluh Gading, di sini, jam 3.30 petang pada 7 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Mohd Haidar menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan syarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi kejadian selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sepanjang tempoh perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital apabila ditetak dengan parang oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Buluh Gading selepas membunyikan hon kepada lelaki yang memotong keretanya.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu Honda City bersama isteri dan dua anaknya terkandas dalam kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk beraya dari Kemaman ke Besut jam 3.30 petang.

Insiden dipercayai berlaku selepas mangsa membunyikan hon keretanya sebaik kenderaan suspek mencelah dan memotong kereta dinaiki mereka sebelum berlaku pergelutan mengakibatkan mangsa ditetak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 9:49 AM