Pengetua Pusat Tahfiz Baitul Furqan, Aqramhakim Mohd Taher Mudir (kanan) bersama pelajar menerima Kotak Rezeki.
Sebahagian pelajar tahfiz Pusat Tahfiz Raudhatul Muslihen sempena program Titipan Kasih di Taman Sungai Baru Ulu, Masjid Tanah.
Zairee Mohd Yasak

Alor Gajah: Peserta rombongan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang berkunjung ke Melaka singgah di dua pusat tahfiz di Masjid Tanah, semalam, bagi menyerahkan sumbangan #HMKotakRezeki 2016.

Penyerahan #HMKotak- Rezeki 2016 disempurnakan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar yang diiringi Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi Titipan Kasih, Othman Mamat dan Ketua Biro Harian Metro Melaka, Mohd Salman Hamat.

Dua pusat tahfiz yang menerima sumbangan itu adalah Tahfiz Baitul Furqan, Kampung Ayer Limau dan Tahfiz Al-Quran Raudatul Muslihen, Taman Sungai Baru Ulu.

Seramai 75 penghuni Pusat Tahfiz Raudatul Muslihen Taman Sungai Baru Ulu kelihatan ceria ketika menyambut ketibaan rombongan TKHM dan menerima sumbangan #HMKotakRezeki 2016.

Mudir pusat tahfiz itu, Mahmood Sabtu, 49, berkata, kunjungan dan serahan sumbangan daripada Harian Metro mengeratkan lagi hubungan antara penghuni pusat tahfiz terbabit dengan akhbar berkenaan.

“Kami bersyukur dan berterima kasih di atas penghargaan pihak Harian Metro serta penaja menghulurkan sumbangan ikhlas yang dapat meringankan beban kewangan kami,” katanya.

Pusat tahfiz yang memulakan operasi pada 2016 itu menerima pelajar lelaki dari seluruh negara untuk mendalami ilmu al-Quran dengan bimbingan lima ustaz yang mempunyai pengalaman.

Pusat Tahfiz Baitul Furqan, Kampung Air Limau yang juga antara pusat tahfiz khas untuk perempuan turut menerima sumbangan Kotak Rezeki dalam program yang membabitkan 30 sukarelawan Harian Metro itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 9:59 AM