Ab Aziz (kiri) melihat keadaan perut Mohd Ikramnadia yang ditebuk untuk membolehkan buah pinggangnya dicuci sendiri.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Dia baru berusia 12 tahun namun terpaksa bertarung nyawa akibat menghidap penyakit buah pinggang sejak setahun lalu.

Setiap hari menjadi rutin harian sebelum ke sekolah Mohd Ikramnadia Zakaria perlu mencuci buah pinggangnya di rumah dengan bantuan ibu, Noriha Ab Wahab, 48.

Biarpun begitu, ia langsung tidak mematahkan semangatnya belajar seperti rakan yang lain.

Noriha berkata, pada April tahun lalu, anaknya diserang demam berterusan sebelum disahkan menghidap penyakit buah pinggang ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai.

Katanya, sejak hari itu, sebelum ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Muhammad Fakhry Petra di sini, dia perlu mencuci buah pinggang anaknya seperti ditetapkan doktor.

“Di rumah, saya perlu mencuci buah pinggang sebelum menghantar anaknya ke sekolah jam 8 pagi setiap hari dan lewat sejam berbanding murid lain.

“Mujurlah, pihak sekolah memberi kelonggaran kepada anaknya untuk datang lewat kerana masalah kesihatan itu,” katanya selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusoff, petang kelmarin.

Menurutnya, dia kini terpaksa menjaga Mohd Ikramnadia sendirian berikutan suaminya, Zakaria Mohamad, 60, juga menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung di kampung.

“Saya tidak dapat menjaga suami di kampung berikutan bekerja di bandar ini, selain perlu menjaga Mohd Ikramnadia yang memerlukan penjagaan rapi.

“Dengan pendapatan RM800 sebulan, saya perlu menyara keluarga dan kadangkala terpaksa berhutang supaya anak dapat menjalani rawatan susulan di hospital,” katanya.

Katanya, kadangkala dia menitiskan air mata mengenangkan nasib yang menimpa keluarganya.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah menyalahkan takdir dan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah. Insya-Allah mungkin ada hikmah di sebalik apa yang saya hadapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 9:25 AM