PEGAWAI AADK melakukan ujian air kencing ke atas bekas penagih.
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my

Ampang: Terjebak semula dengan penagihan dadah selepas termakan pujukan rakan lama pada Aidilfitri lalu.

Itu dialami 13 bekas penagih dadah di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas masing-masing pulang bercuti dari kampung halaman.

Ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah.

Semua penagih berusia lingkungan 20 hingga 67 tahun berkenan turut mengaku gagal menahan godaan yang ‘mengkhayalkan’ itu selepas berhenti mengambil dadah sejak ditahan AADK awal tahun ini.

Seorang penagih warga emas berusia 67 tahun berkata, dia mengambil dadah kira-kira dua minggu lalu selepas berkunjung ke rumah rakan pada hari raya kedua.

Katanya, dia terpengaruh menagih dadah ganja bersama-sama rakan walaupun menyedari perlu melapor diri di pejabat AADK Ampang untuk pemeriksaan bulanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata, semua bekas penagih yang berada di bawah pengawasan pihaknya perlu melapor diri untuk pemeriksaan setiap bulan.

Katanya, sebaik melalui ujian saringan air kencing, 13 individu ini didapati positif dadah dan mengaku mengambil dadah ketika Aidilfitri lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 9:48 AM