MUHAMMAD Farkhan menunjukkan tali pinggang yang dimenangi.
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Juara World Boxing Council (WBC) Asia 2016, Muhammad Farkhan Mohd Haron, 28, mendedikasikan kemenangan buat seluruh rakyat Malaysia selain menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dia yang menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi kejuaraan berkenaan sebelum ini bergerak sebagai amatur sejak berumur 13 tahun mengakui tanpa tajaan Tunku Ismail impiannya untuk bergelar juara WBC Asia tidak mungkin menjadi kenyataan.

Muhammad Farkhan berasa kecewa apabila tidak mendapat bantuan penajaan daripada agensi kerajaan peringkat Persekutuan menyebabkan dia terpaksa bergerak sendiri mencari dana untuk melangkah ke peringkat profesional.

“Hampir 99.9 peratus tajaan adalah pemberian TMJ, saya akui tanpa tajaan daripadanya tidak mungkin saya berada tahap sekarang,” katanya pada sidang media di Restoran Banafe Village, di sini, semalam.

Katanya, selepas setahun mengambil keputusan meninggalkan dunia tinju amatur, dia memerlukan dana untuk bertanding ke peringkat profesional.

“Saya juga terkilan selepas tidak mendapat bantuan daripada Pusat, namun saya tidak patah semangat dan bertemu TMJ untuk menyampaikan hasrat memohon bantuan untuk bertanding ke kejuaraan WBC Asia.

“Paling membuatkan saya terharu apabila TMJ memaklumkan bantuan diberikan adalah ikhlas sebab beliau sayangkan rakyat Johor. Kata-kata itu menyuntik lagi semangat saya untuk menjadi petinju profesional,” katanya.

Sebelum itu, Muhammad Farkhan turut membuat kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Muhammad Farkhan juga bertuah apabila Tunku Ismail turut bersetuju memberi tajaan sebanyak RM4 juta untuk menjalani latihan selama dua tahun di Mayweather Boxing Club, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 10:00 AM