Mohd Badrulhisham menunjukkan luka pada tangan akibat tergesel batang pokok kelapa.
Mohd Badrulhisham menunjukkan luka pada tangan akibat tergesel batang pokok kelapa.
myMetro

Kuala Terengganu: Angkara semut hitam, seorang pemuda kini terlantar di wad selepas terjatuh daripada pokok kelapa di depan rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, kelmarin.

Mohd Badrulhisham Besar, 26, dikejarkan ke hospital apabila tidak mampu berdiri selepas terjatuh daripada pokok kelapa setinggi lapan meter.

Tukang cat itu ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, berkata, ketika kejadian jam 3 petang itu, dia memanjat pokok kelapa berkenaan dan sebaik sampai ke pelepah, tiba-tiba ribuan semut hitam mengerumuni kedua-dua tangannya.

Menurutnya, dia yang panik gagal menahan kesakitan apabila semut itu menggigit kedua-dua tangannya.

“Saya yang memeluk batang kelapa itu tidak mampu bertahan dan terus menggelongsor ke bawah menyebabkan tangan calar-balar.

“Semut itu semakin banyak hingga saya tidak mampu bertahan dan kedua-dua tangan terlepas sebelum jatuh,” katanya.

Katanya, dia jatuh dalam keadaan terduduk dan sakit pinggang dan kaki sebelum dibantu ahli keluarganya.

“Seluruh badan saya kebas dan tidak mampu berdiri, tetapi bernasib baik abang segera memapah saya dan dihantar ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke HSNZ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:22 AM