Kes samun stesen minyak membabitkan suspek bersenjatakan kapak.
myMetro

Kuala Lumpur: Mahu hidup mewah menyebabkan dua gadis mengambil keputusan menganggotai kumpulan penjenayah Geng Kapak yang melakukan 37 kes rompakan stesen minyak.

Kumpulan itu turut dianggotai tiga remaja lelaki bagaimanapun dicekup polis menerusi satu serbuan di Pandan Mewah, Ampang, Selangor, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, suspek berusia 16 hingga 25 tahun itu ditahan pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Difahamkan kumpulan itu amat dikehendaki polis berhubung kes samun stesen minyak Petronas di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Sumber polis berkata, hasil siasatan dilakukan terhadap dua individu lelaki ditahan berusia 23 dan 25 tahun mendapati mereka melakukan jenayah itu sejak beberapa bulan lalu.

“Suspek dikesan terbabit dalam 37 kes samun membabitkan empat negeri berkenaan.

“Sebanyak 30 kes dikenal pasti dilakukan di kawasan ibu kota dan Selangor, (4) Perak dan (3) Negeri Sembilan,” katanya.

Selain itu mangsa turut disyaki terbabit dalam enam kes samun stesen minyak Petronas di Shah Alam,Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:20 AM