DR Mohd Shukri memberi kata-kata semangat kepada Wong sambil diperhatikan graduan lain.
DR Mohd Shukri memberi kata-kata semangat kepada Wong sambil diperhatikan graduan lain.
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Meskipun bergelar guru, usaha gigih mendalami bidang perguruan di Management & Science University (MSU) melayakkannya menerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen ke-19 MSU, di sini, kelmarin.

Wong Kah Leong, 48, guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Min, Bangi teruja apabila hasil usahanya selama empat tahun belajar dan berkhidmat sebagai guru membuahkan hasil.

Dia yang juga graduan Bacelor Pendidikan (Kepujian) Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) berkata, dirinya perlu bijak membahagikan masa antara bekerja, kuliah serta waktu bersama keluarga.

“Apabila bekerja, saya fokus kepada kerja, masa belajar saya akan beri sepenuh perhatian, begitu juga apabila bersama keluarga.

“Saya amat meminati bidang perguruan selepas mendengar ungkapan ‘jurutera hanya membina benda, namun guru membina manusia’,” katanya.

Majlis konvokesyen disempurnakan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah yang juga Canselor MSU.

Turut hadir, Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Pada majlis konvokesyen itu, Wong mewakili 350 graduan diberi peluang berucap dan dia tidak dapat menahan sebak apabila mengucapkan syukur sepanjang pengajiannya di MSU.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 5:38 AM