TERTUDUH dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan, semalam.

Johor Bahru: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun didenda RM2,000 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan membantu kegiatan pemberi wang tanpa lesen dengan cara mengedar risalah pinjaman wang haram, semalam.

Gan Kah Seng mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Noor Aisyah Ahmad menjatuhi hukuman itu selepas mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Gan didakwa melakukan perbuatan itu dengan mengedar 339,000 kad atau risalah serta 7,536 kain rentang berhubung pinjaman wang tidak berlesen.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di No 23, Jalan 11/30, Perjiranan 11, Bandar Dato’ Onn, di sini, kira-kira 8.30 pagi, 21 Julai lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fithril Hakim Ab Jalil ketika mengemukakan fakta kes secara lisan berkata, tertuduh pada hari kejadian melanggar lampu isyarat sebelum ditahan polis.

Katanya, ketika pemeriksaan dalam kenderaannya, polis menjumpai satu kain rentang pinjaman wang tanpa lesen.

“Selepas dipandu arah oleh tertuduh, polis dibawa ke sebuah rumah (lokasi kejadian) sebelum menemui semua risalah dan kain rentang terbabit,” katanya.

Sementara itu, peguam bela, Goh Sze Han mengatakan ia kesalahan pertama dilakukan tertuduh.

“Anak guam saya direman sejak 21 Julai lalu dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 5:42 AM