HALIM
Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Abd Halim Ab Majid, 62, meninggal dunia sewaktu dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kajang, Selangor, pada jam 7.05 malam, semalam.

Anak sulungnya, Muhammad Ikram, 32, ketika dihubungi memberitahu, dia dan ahli keluarganya berada di sisi bapanya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

Menurutnya, bapanya yang menghidap penyakit buah pinggang diserang angin ahmar pada pagi Selasa lalu sebelum dirawat di hospital berkenaan.

“Akibat serangan angin ahmar, arwah ayah mengalami koma sehingga disahkan meninggal dunia pada jam 7.05 malam tadi.

“Saya diberitahu oleh doktor bahawa ayah meninggal dunia akibat angin ahmar yang menyebabkan pendarahan kritikal di otaknya,” katanya semalam.

Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Normah Ab Talib, 61, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Ikram dan dua adiknya, Nurhaizum, 30, dan Muhammad Asyran, 28.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 10:20 AM