DARI kiri, Othman dan Mustapa beramah mesra dengan keluarga Azahilah (kanan) selepas menyampaikan sumbangan sempena program Titipan Kasih Harian Metro.
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


Kulim: Seorang ibu muda bukan saja menanggung tiga anaknya, malah turut menjaga tiga adik perempuan selepas kematian ibu bapa mereka.

Keadaan bertambah teruk apabila Azahilah Khalib, 31, yang tinggal di rumah pusaka ibu bapanya di Kampung Baru Sungai Kob, di sini, turut kehilangan pekerjaan bagi menyara keluarga apabila pasar raya tempatnya bekerja ditutup, Mei lalu.

Azahilah berkata, dia yang masih mencari pekerjaan kini tinggal bersama tiga adik perempuannya berusia 18, 20 dan 27 tahun di rumah pusaka ibu bapanya sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini, dia memperoleh pendapatan sekitar RM600 sebulan tetapi kini buntu apabila hilang pekerjaan selepas pasar raya berkenaan menutup operasinya.

“Kehidupan kami serba kekurangan sejak saya hilang pekerjaan dan hanya menggunakan wang simpanan selain bantuan pelbagai pihak yang prihatin untuk perbelanjaan harian.

“Malah, saya dibantu adik berusia 20 tahun yang bekerja kilang manakala adik bongsu berusia 18 tahun baru habis belajar dan adik yang berusia 27 tahun pula masih mencari pekerjaan.

“Mujur, kami menerima bantuan membaik pulih bumbung dan rumah daripada Pejabat Daerah Kulim dan kini kerja pembinaannya masih berjalan, sekali gus memiliki bilik air lebih selesa dalam rumah berbanding sebelum ini apabila terpaksa menggunakan air telaga,” katanya.

Azahilah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar yang menyerahkan sumbangan wang tunai dan #HMKotakRezeki 2016 sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di rumahnya, di sini.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi TKHM Othman Mamat.

Ibu kepada tiga anak berusia tujuh hingga 10 tahun itu berkata, rumah pusaka didiami mereka juga kurang selesa kerana berada dalam keadaan separuh siap disebabkan kerja ubah suai terbengkalai selepas arwah bapanya meninggal dunia.

“Saya berterima kasih kepada Harian Metro kerana sudi memberi sumbangan dalam bentuk barangan keperluan dapur serta wang tunai bagi meringankan bebanan sementara mendapat pekerjaan baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:47 AM