MAHDZIR (tiga dari kiri) melancarkan Laporan Tahunan 2015 PPPM bersama dari kiri, Dr Khair, Chong, Kamalanathan, Dr Madinah dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PADU, Tan Sri Megat Zaharudin Megat Mohd Nor.
Hayati Ibrahim dan Mahaizura Abd Malik


Putrajaya: Tiga keberhasilan utama ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berjaya mencatat kejayaan cemerlang dan mencapai sasaran selepas tamat Gelombang Satu pelan itu dari 2013 hingga 2015.

Tiga keberhasilan utama termasuk kebolehan murid menguasai literasi dan numerasi selepas tiga tahun persekolahan, peningkatan enrolmen murid dan merapatkan jurang pencapaian sekolah bandar dan luar bandar.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sepanjang tiga tahun pelaksanaannya, pelan ini berjaya membantu murid mencapai 99 peratus dalam literasi bahasa Melayu dan numerasi pada akhir tahun tiga melalui Program Literasi dan Numerasi (LINUS).

Selain itu, beliau berkata, kadar penguasaan literasi bahasa Inggeris murid tahun tiga pada 2015 meningkat 15.81 peratus iaitu dari 78.3 peratus pada 2014 kepada 94.11 peratus pada 2015.

“Daripada segi enrolmen pra sekolah pula, usaha bersepadu kementerian membabitkan agensi awam dan swasta mencatat peningkatan signifikan iaitu 84.51 peratus pada 2015 berbanding 80.2 peratus pada 2012, peningkatan 71,176 murid berbanding sebelum pelancaran PPPM.

“Cabaran dihadapi dalam melaksanakan inisiatif ini bukan sedikit kerana membabitkan peringkat pentadbiran di negeri dan pelbagai agensi namun bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan awal berkualiti, usaha dilipat gandakan bagi mencapai sasaran 100 peratus di akhir Gelombang Dua, iaitu pada 2020,”katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2015 PPPM 2013-2025, di sini, semalam.

Turut hadir, kedua-dua timbalannya Datuk P Kamalanathan dan Chong Sin Woon, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Apa yang menggembirakan Mahdzir berkata, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 31.6 peratus mengatasi sasaran 25 peratus ditetapkan dalam PPPM.

“Jelas sekali menerusi akses pendidikan berkualiti yang dijanjikan dalam PPPM 2013-2025, kami meletakkan asas kukuh membangunkan murid holistik bersedia menjulang nama negara di arena antarabangsa.

“Kejayaan ini hasil kerjasama kolektif dan kolaboratif daripada semua pihak berkepentingan termasuk murid, guru, pemimpin sekolah, ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta serta sokongan berterusan daripada pemimpin dan warga pendidikan,” katanya.

Katanya, enrolmen menengah rendah dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasion (TVET) juga meningkat 5.3 peratus berbanding 4.6 peratus pada 2013, sekali gus menunjukkan persepsi terhadap TVET semakin positif selepas pelbagai kempen dijalankan kerajaan.

Beliau berkata, Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) diperkenalkan tahun lalu menyaksikan 343 murid mendapat dua sijil serentak iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Mahdzir berkata, murid berkeperluan khas (MBK) mengikuti Pendidikan Inklusif meningkat dari 18.4 peratus (10,700) pada 2014 kepada 23.2 peratus (16,899) pada tahun lalu.

“Dalam siri lawatan ke sekolah, saya melihat perubahan ketara di sekolah, lebih banyak kelas kini mengamalkan pembelajaran abad ke-21.

“Kaedah ini menunjukkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diaplikasi dalam kurikulum, pentaksiran dan aktiviti kokurikulum serta menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam menyediakan murid untuk landskap baharu pendidikan tinggi,”katanya.

Katanya, bagi meningkatkan kemahiran guru, seramai 268,589 guru dilatih menguasai kemahiran pedagogi abad ke-21 dengan memberi tumpuan kepada penerapan KBAT dalam kalangan murid.

Malah, beliau berkata, kementerian meningkatkan usaha memastikan guru lebih tertumpu kepada proses pengajaran dan pembelajaran melalui inisiatif Penyusunan Semula Tugas Asas Guru di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Kami berbangga pada 2015, peratus kehadiran ibu bapa dalam enam aktiviti utama di sekolah meningkat dari 57 peratus kepada 74.6 peratus, selaras dengan Anjakan 9 PPPM yang membuka pintu seluas-luasnya kepada pembabitan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:54 AM