Bakal jemaah Haji (dari kiri) Mansor, Khaidir, Fadzilah, Mazuwati dan Faizah di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.
Siti Farahiyah Aziz

Kelana Jaya: Lima sahabat yang juga dalam kalangan guru dari Kuantan, Pahang gembira dan bersyukur kerana dapat mengerjakan haji bersama dalam satu kumpulan.

Guru berkenaan terdiri daripada Mansor Deraman, 51, dan isteri, Mazuwati Md Nor, 48, Khaidir Maarof, 46, dan isteri, Fadzilah Mansur, 46, dan Faizah Mansur, 47.

Mansor berkata, mereka berlima tidak mengetahui tahun masing-masing mendaftar haji pada tahun sama iaitu 2006 kerana setiap orang ada komitmen dan perancangan sendiri.

“Tahun lalu ketika bertugas sebagai pengawas peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November lalu saya mendapat panggilan daripada pihak Tabung Haji (TH) yang memaklumkan saya dan isteri terpilih mengerjakan rukun Islam kelima tahun ini.

“Berita baik itu dikongsikan dengan Khaidir yang ketika itu bertugas bersama saya dan tanpa disangka dia juga memberitahu dihubungi pihak TH berkenaan perkara yang sama,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, kelmarin.

Menurutnya, bukan dia dan Khaidir bersama isteri masing-masing mendapat peluang itu tapi rezeki turut menyebelahi Faizah yang juga guru serta kakak kepada Fadzilah.

“Apabila dapat tahu kenalan rapat dapat pergi ke Tanah Suci pada hari, masa dan penerbangan yang sama, saya dan Khaidir segera ke Pejabat Tabung Haji Kuantan untuk mendaftar nama dalam satu kumpulan yang sama.

“Lagipun ini kali pertama saya dan isteri menjejakkan kaki ke rumah Allah SWT, jadi menerusi kumpulan kami sama-sama boleh membantu dan berkongsi maklumat antara satu sama lain dengan lebih mudah,” katanya.

Mansor berkata, dia mula menabung sejak mula bekerja iaitu pada 1989 menerusi potongan gaji.

“Lagipun saya sudah berniat untuk ke sana dan Alhamdulillah setakat ini, tiada sebarang masalah membabitkan kewangan.

“Dari segi kesihatan pula, saya hanya menghidap penyakit darah tinggi dan ia masih terkawal manakala yang lain tiada masalah kesihatan,” katanya.

Menurutnya, mereka mengharapkan dipermudahkan segala urusan di sana bagi menyempurnakan ibadah dan mendapat haji yang mabrur.

Mereka berlima antara 39 jemaah haji yang berangkat ke Makkah menerusi penerbangan KT 12B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 9:47 AM