MUHAMMMAD Adam Firdaus sempat dikunjungi Jeffri.
JENAZAH Muhammad Adam Firdaus selamat disemadi di Tanah Perkuburan Islam Saleng, Kulai.
Mary Victoria Dass

Kulai: “Saya terkilan tidak dapat menunaikan permintaan terakhir Muhammad Adam Firdaus untuk berjalan-jalan ke taman tema Hello Kitty walaupun ada pihak sanggup menaja tiket untuknya,” kata suri rumah, Zainon Ismail, 38, semalam.

Zainon berkata, anak kedua daripada empat beradik itu, Muhammad Adam Firdaus Khairul Azmi, 6, menghembuskan nafas terakhir jam 8 malam kelmarin di kediaman keluarganya di Taman Sutera, Saleng, di sini.

Menurutnya, anaknya yang juga pesakit barah saraf tahap keempat menghadap Ilahi selang tiga jam keluar dari Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Dia sempat pulang ke rumah dan ketika saya menyatakan ada pihak mahu membawanya berjalan-jalan ke Hello Kitty, dia gembira.

“Namun, tidak lama selepas itu, dia mengadu sesak nafas sebelum meninggalkan kami. Kami akan merindui arwah selama-lamanya dan harap dia tenang di sana,” katanya.

Jenazah Muhammad Adam Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Saleng kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Badan Amal Permata Takzim (Papeta), Jeffri Senin.

Jeffri berkata, dia berterima kasih kepada beberapa pihak yang sedia menaja tiket bagi Muhammad Adam ke taman tema berkenaan yang sepatutnya hari ini (Sabtu).

“Kami akan terus memantau keluarga ini memandangkan ketua keluarganya, Khairul Azmi Sani, 37, mengalami masalah kesihatan termasuk kemurungan hingga terpaksa berhenti kerja sebagai polis sukarelawan.

“Pihak berkaitan seharusnya tampil membantunya untuk pulih bagi membolehkannya menyara kehidupan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:11 AM