SYED Saleh (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Muhammed Amin.
SYED Saleh (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Muhammed Amin.


Makkah: Penambahbaikan prasarana untuk keselesaan jemaah haji Malaysia di Muzdalifah dan Mina membuktikan hubungan baik antara pihak Muassasah Asia Tenggara dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, selain hubungan baik itu, ia juga sebagai bukti pihak berkuasa Arab Saudi menyenangi jemaah haji Malaysia yang terkenal dengan disiplin tinggi dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa negara berkenaan.

“Apa yang dilakukan pihak Muassasah Asia Tenggara sangat disanjungi TH serta jemaah haji dan berharap hubungan baik ini akan berterusan.

“Pada masa sama juga TH akan berusaha sebaik mungkin serta meningkatkan kecekapan untuk terus mengurus semua urusan jemaah haji negara ketika menunaikan haji,” katanya ketika berucap pada Majlis Taaruf Antara TH dan pihak muassasah itu di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Muassasah Asia Tenggara, Muhammed Amin Hassan Andarqiri dan pegawai kanan kedua-dua pihak.

Kelmarin, Muhammed Amin memaklumkan pihaknya sudah membuat empat penambahbaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:26 AM