ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa.
myMetro

Beluran: Seorang kelindan lori meninggal dunia manakala pemandu patah tulang rusuk kiri selepas lori 10 tan dinaiki terbabas sebelum merempuh penghadang jalan di Jalan Beluran-Paitan berhampiran Bukit Ular dekat sini, jam 8.30 pagi kelmarin.

Mangsa, Ardi Muddin, 25, meninggal dunia di lokasi akibat tersepit manakala pemandu yang berusia 34 tahun cedera parah. Kedua-dua mangsa dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan.

Difahamkan, kedua-duanya yang beralamat di Kampung Baru, Batu 18, Sandakan, dalam perjalanan dari bandar Sandakan ke Sugut, Paitan untuk menghantar barang sebelum lori terbabit hilang kawalan akibat brek gagal berfungsi.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V Shivananthan berkata, ketika kejadian, lori itu membawa 10 saluran pembetung.

“Tiba di lokasi, ketika melalui selekoh tajam menuruni bukit, pemandu lori hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh penghadang jalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:36 AM