BEBERAPA ulat parkir ditahan dalam Ops Target di Jalan Chow Kit.
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: “Terpaksa bersengkang mata untuk menjaga keselamatan kereta pelanggan’.

Itu antara alasan ‘ulat parkir’ di sekitar Jalan Chow Kit, di sini, yang ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah.

Dalam operasi Ops Target bermula jam 9 malam kelmarin, seramai 12 ulat parkir tidak sempat melarikan diri apabila ditahan pihak AADK.

Seorang penagih berusia 30-an yang ditahan berkata, dia terpaksa menyara hidup dengan menjaga parkir haram di sekitar kawasan itu selain menggunakan wang diperoleh untuk membeli dadah.

“Saya pernah cuba untuk berhenti mengambil dadah, namun gagal selepas kerap dipujuk rakan.

“Saya cuma berjaya kurangkan pengambilan dadah, tetapi hanya bertahan beberapa minggu saja sebelum mula menagih dadah kembali,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Kuala Lumpur Zolkifli Mohd Dom berkata, pemeriksaan mengejut itu dilakukan berikutan aduan warga kota yang sering diganggu ulat parkir ketika berkunjung ke kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, seramai 12 penagih lelaki ditahan termasuk dua individu yang berada dalam senarai dikehendaki kerana melanggar arahan pengawasan.

“Semua yang ditahan berusia antara 20 dan 50 tahun dan mereka didapati positif dadah jenis morfin serta syabu.

“Selain itu, AADK turut menyerbu beberapa kawasan perumahan di sekitar ibu kota bagi mengesan golongan penagih dadah,” katanya.

Zolkifli berkata, enam individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala empat lagi mengikut Seksyen 6(3) akta sama.

Menurutnya, dua lagi individu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana melanggar arahan pengawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 8:16 AM