Ahmad Zahid berucap ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai, semalam.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Khabar gembira buat ratusan ribu penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara apabila kerajaan mengumumkan akan melaksanakan PPR secara sewa beli tanpa bayaran deposit.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pelaksanaannya.

Katanya, langkah dilaksanakan kerajaan itu bertujuan mengatasi masalah kemiskinan bandar khususnya meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.

“Soal penempatan ini, saya dengan ini mengarahkan Tengku Adnan untuk melaksanakannya melalui DBKL, supaya PPR di seluruh Wilayah Persekutuan ini dibuat secara sewa beli tanpa bayaran deposit.

“Saya yakin, perkara ini dapat diselesaikan dalam masa setahun,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu berkaitan kemiskinan bandar dibangkitkan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai, semalam.

Hadir sama, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 8:26 AM