NAJIB pada sesi perbincangan ketua pemimpin di Majlis Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru di PICC, semalam.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan mengambil langkah berani dengan mengetepikan polisi lama dan memperkenalkan pelbagai pendekatan baharu bagi mengelakkan negara ‘berenang’ ke lautan merah dan terperangkap dalam negara berpendapatan sederhana.

Mengakui langkah yang diambil mendapat banyak tentangan dan kurang popular, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diperkenalkan pada 2009 adalah satu daripada usaha untuk mencapai matlamat itu.

Katanya, kerajaan menyedari kebergantungan kepada orientasi eksport dan model pembuatan berkos rendah saja tidak akan membantu mengeluarkan negara daripada perangkap itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, negara perlu melakukan perubahan inovatif bagi mengekalkan ekonomi yang kukuh dan berdaya saing, sekali gus memberi kebaikan kepada rakyat.

“Jika kita meneruskan polisi lama, mungkin kerajaan dan negara ‘berenang’ dalam lautan merah (yang penuh perebutan, mengeksploitasi permintaan, berlumba mendominasi pelanggan sedia ada dan sentiasa memaksimumkan kos).

“Jadi kita perlu melakukan anjakan paradigma dan mencipta model ekonomi baharu yang dipacu oleh pengetahuan, kreativiti dan inovasi (dan) Lautan Biru adalah satu peluang baharu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Transformasi Negara Melalui Kreativiti dan Inovasi pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Strategi Lautan Biru sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Raja Mswati III dari Swaziland, Presiden Republik Nauru Baron Waqa, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-O-Cha, Naib Presiden Republik Maldives Abdullah Jiha, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata, NBOS yang mengetengahkan prinsip memberikan impak tinggi, kos rendah dan pelaksanaan lebih cepat juga menjadi faktor utama yang membantu pelaksanaan Program Transformasi Negara (GTP).

Beliau berkata, kesan pelaksanaan NBOS amat memberangsangkan sejak tujuh tahun pelaksanaan dengan lebih 80 kementerian dan agensi kerajaan bergabung tenaga untuk mewujudkan penyelesaian berimpak tinggi untuk memenuhi keperluan semasa.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan menerusi NBOS berjaya mengubah sistem penyampaian kerajaan secara mendadak. Contoh paling ketara adalah Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang kini menjadi lokasi paling popular dalam kalangan rakyat menyelesaikan urusan harian.

“Ia dibuktikan apabila 35.5 juta pengunjung hadir di 15 UTC di seluruh negara dalam tempoh antara Jun 2012 hingga Julai lalu untuk menyelesaikan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung bermula dari jam 8 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 9:00 AM