PETUGAS Unit Kaunseling mengadakan lawatan silaturahim dari bilik ke bilik jemaah.

Makkah: Seramai 50 jemaah haji berusia 70 tahun ke atas yang tiada waris di Tanah Suci mengalami masalah lemah ingatan, tetapi mampu melakukan perjalanan akan dipilih menerusi program Jemaah Haji Warga Emas ketika operasi Masya’ir (ibadat luar) di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Mereka membabitkan masing-masing 25 jemaah lelaki dan 25 wanita akan dipilih menerusi saringan khas yang dilakukan oleh doktor, pegawai unit kaunseling serta Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PITAS).

Pengurus Kaunseling Tanah Suci Fauziah Ahmad berkata, pengurusan setiap maktab akan mengemukakan nama jemaah berkenaan kepada pihaknya dan satu temu duga akan dijalankan sebelum membuat pemilihan akhir.

Katanya, warga emas terpilih akan dibantu seorang pengiring setiap orang iaitu pengiring lelaki untuk jemaah lelaki dan pengiring wanita untuk jemaah wanita.

Menurut beliau, pengiring lelaki akan diambil dari kalangan kakitangan pembantu petugas haji (PATUH) manakala pengiring wanita adalah petugas kaunter kewangan yang tidak bertugas ketika operasi Masya’ir.

“Jemaah warga emas ini akan diberi bantuan oleh pengiring ini ketika Masya’ir iaitu ibadat Wukuf di Arafah serta bermabit di Muzdalifah dan Mina.

“Bentuk bantuan ini seperti penjagaan diri, termasuk dimandikan dan diberi makanan selain menjadi wakil untuk melakukan lontaran di Jamrah.

“Selepas selesai melaksanakan tawaf dan saie, mereka akan dihantar semula ke maktab masing-masing,” katanya.

Fauziah berkata, sehingga kelmarin Unit Kaunseling menerima 29 aduan daripada jemaah haji yang mana 27 daripadanya membabitkan jemaah di Madinah dan bakinya di sini.

Katanya, kebanyakan aduan membabitkan isu pengurusan emosi serta berkaitan rakan sebilik.

Menurutnya, kaunselor juga akan mengadakan lawatan silaturahim ke bilik jemaah secara rambang, memberi taklimat ringkas kepada setiap ketibaan jemaah berhubung perkhidmatan kaunseling serta memberi khidmat kaunseling secara individu dan berkelompok.

“Unit Kaunseling juga mengadakan penambahbaikan dalam memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji dengan perkhidmatan kaunseling secara hotline dikenali sebagai PEKA,” katanya.

Menurutnya, fungsi Unit Kaunseling penting berikutan jemaah haji masih dalam proses percubaan untuk menguruskan emosi.

Katanya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada isu emosi jemaah seperti perubahan alam sekitar, budaya masyarakat tempatan yang agak berbeza, perubahan cuaca serta terpaksa berjauhan dari keluarga di tanah air.

Ketika ini Unit Kaunseling Tanah Suci dianggotai tujuh petugas, termasuk tiga petugas Lembaga Tabung Haji (TH) sendiri dan masing-masing dua kaunselor bertauliah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami memberi nasihat serta sokongan psikologi supaya jemaah boleh mengendalikan diri sendiri ketika di Tanah Suci supaya dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna serta mendapat haji mabrur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 10:08 AM