SITI Salwani (dua dari kiri) menunjukkan surat tawaran USM kepada Roxhana (kiri) sambil diperhatikan ibu bapanya.
SITI Salwani (dua dari kiri) menunjukkan surat tawaran USM kepada Roxhana (kiri) sambil diperhatikan ibu bapanya.
Mohamad Zulhairie Manzaidi

Pasir Mas: Kemiskinan hidup keluarga menyebabkan seorang bakal mahasiswa di Kampung Kubang Bunut, di sini, mungkin terpaksa melupakan hasrat menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Siti Salwani Jusoh, 20, memperoleh tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Sastera Pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan dijadualkan melapor diri pada 28 Ogos ini.

Namun, anak kelima daripada sembilan beradik itu buntu memikirkan kerana keluarganya tidak mampu menyediakan wang menampung kos pembelajarannya dan membeli barang keperluan.

Bukan menyesali takdir, tetapi Siti Salwani sangat berharap dapat membantu keluarga apabila menjadi anak pertama memegang ijazah sarjana muda.

Ia juga selepas kedua-dua abangnya yang belajar separuh jalan di peringkat diploma kerana terpaksa mencari pekerjaan untuk menyara keluarga mereka.

“Saya mungkin mengikut jejak abang yang tidak dapat meneruskan pengajian mereka kerana soal kewangan.

“Pendapatan ayah, Jusoh Awang, 67, sebagai penanam sayur dan menjualnya di pasar pagi secara kecil-kecilan iaitu sekitar RM700 sebulan hanya cukup untuk menampung belanja empat adik lagi yang masih sekolah.

“Manakala ibu, Rohana Hussin, 54, membantu ayah mengambil upah mengasuh anak jiran dan menjual kuih-muih walaupun dia tidak cergas mana selepas diserang angin ahmar tahun lalu.

“Dia kini lumpuh daripada paras pinggang ke bawah,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong.

Bagi membantunya membuat persiapan, pengurusan SMK Tendong menyampaikan sumbangan wang tunai RM300 yang akan digunakan untuk membeli barang keperluan.

Sementara itu, Jusoh berkata, dia bersyukur kepada Allah SWT kerana masih lagi kuat untuk melakukan pekerjaan walaupun menghidap penyakit tibi sejak 20 tahun lalu.

“Memang saya sedih, akibat kekangan kewangan yang dihadapi dua anak saya sebelum ini. Jadi kalau boleh, saya tidak mahu perkara sama berulang kepada Siti Salwani,” katanya.

Kesukaran Siti Salwani turut mendapat perhatian Pengasas Pertubuhan Kebajikan Pergerakan Adil (PKPA), Roxhana Omar yang berusaha mengumpul dana menerusi sebaran maklumat di Facebooknya.

Roxhana turut membantu mengemukakan masalah dihadapi gadis itu ke pengetahuan Baitulmal dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional 0399541000269377 atas nama Siti Salwani Jusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:30 AM