ANTARA penagih dadah yang ditahan dalam serbuan Op Target AADK.
Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Tujuh ‘zombie’ yang terbaring khayal bergelimpangan selepas berpesta ganja tidak sempat melarikan diri ketika kediaman dihuni diserbu penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mereka ditahan dalam operasi Op Target di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di daerah Sentul di sini, dalam operasi bermula jam 9 malam kelmarin.

Operasi dilakukan membabitkan pegawai dan anggota AADK daerah Sentul dengan kerjasama Jabatan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zolkifli Mohd Dom berkata, operasi tertumpu di kawasan ‘panas’ berikutan risikan pihaknya mendapati lokasi itu menjadi tumpuan penagih dadah.

Menurutnya, operasi dilakukan dengan menyerbu rumah penagih dadah yang sudah dikenal pasti termasuk dua individu dalam senarai dikehendaki kerana melanggar arahan pengawasan bulanan AADK.

Dia berkata, penagih dadah yang ditahan itu tidak sempat melarikan diri berikutan kawasan kediaman itu dikepung.

“Semua individu yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun dan mereka didapati positif dadah jenis ganja.

“Semua tahanan dibawa ke pejabat AADK Sentul untuk tindakan selanjutnya termasuk memanggil ahli keluarga untuk tindakan,” katanya.

Zolkifli berkata, lima individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala dua lagi mengikut Seksyen 6(3) akta sama.

Menurutnya, pihak penguat kuasa akan terus melakukan pemantauan untuk mengenal pasti kegiatan penagihan sebelum melakukan serbuan dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 9:54 AM