Pegawai  SPRM mengiringi tiga kakitangan TNB Kelantan yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.
Pegawai SPRM mengiringi tiga kakitangan TNB Kelantan yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Kemampuan memiliki 10 rumah dan beberapa kereta mewah dalam masa yang singkat membawa kepada penahanan suspek utama kes rasuah pegawai kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan dan tiga kakitangannya.

Sumber itu berkata, suspek utama berusia 47 tahun itu dikatakan mula terbabit dengan aktiviti menyalahgunakan kuasa dengan memberikan projek kepada adik-beradiknya yang juga kontraktor dan rakannya untuk memperoleh habuan tertentu sejak beberapa tahun lalu selepas berpindah ke negeri itu.

Katanya, beberapa kakitangan lain turut terbabit dalam membantu suspek utama sehingga membawa kepada penahanan tiga suspek terbaru iaitu seorang jurutera dan dua juruteknik ketika memberikan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan kelmarin.

“Kita percaya, bagi setiap projek yang diberikan, mereka memperoleh habuan tertentu sehingga mereka mampu hidup mewah di luar kemampuan yang sepatutnya.

“Setakat ini, lima kontraktor yang dipercayai terbabit sudah dipanggil untuk siasatan dan kita percaya lebih ramai kontraktor yang mempunyai hubung kait dengan mereka.

“Kita tidak tolak kemungkinan ada lagi kakitangan TNB turut terbabit,” katanya.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret di sini, semalam, tiga kakitangan TNB Kelantan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri terhadap suspek berusia antara 30 dan 50 tahun itu bermula semalam sehingga 27 Ogos ini untuk melengkapkan siasatan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri, pengarah kanan sebuah jabatan kerajaan di Melaka bergelar Datuk dan seorang pengurus agensi kerajaan di Kelantan direman tujuh hari di tiga Mahkamah Majistret berasingan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki dipetik berkata, akaun milik ketiga-tiga suspek melebihi RM13 juta dibekukan meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai RM1 juta hingga RM6 juta bagi setiap yang ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:54 AM