ZAWAWI berkostum Spiderman mengagihkan nasi berlauk ketika hadir di pejabat NSTP di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu.
ZAWAWI berkostum Spiderman mengagihkan nasi berlauk ketika hadir di pejabat NSTP di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu.

Kota Bharu: Nasi Lemak Spiderman bakal dipatenkan bagi mengelak jenama itu digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak yang hanya ingin mengaut keuntungan.

Pengasasnya, Zawawi Ghazali, 30, berkata, perkara itu masih dalam perancangan kerana belum bertemu dengan pihak berkaitan, namun akan dibuat dalam masa terdekat.

“Saya merancang untuk melindungi hak cipta jenama ini kerana khuatir ada pihak mengambil kesempatan menggunakan nama Nasi Lemak Spiderman sewenang-wenangnya.

“Sebelum ini, saya pernah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk membuka premis menjual Nasi Lemak Spiderman di luar Kelantan, namun kebanyakan mereka hanya ingin menggunakan jenama itu dan tidak mahu menggunakan sambal yang saya sediakan.

“Oleh itu, saya fikir ia perlu dipatenkan untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui di pejabat New Straits Times Press (NSTP), semalam.

Harian Metro pada 11 Februari lalu melaporkan seorang peniaga menggayakan kostum adiwira, Spiderman untuk melariskan jualan nasi lemaknya.

Lagaknya menjual makanan kegemaran rakyat Malaysia itu di sekitar bandar ini ternyata berbaloi apabila berjaya mencuri tumpuan ramai, malah gambarnya turut dirakam dan dimuat naik ke laman sosial hingga viral.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Zawawi berkata, dia kini mula mengembangkan perniagaannya dengan menjual menu baru iaitu nasi berlauk selepas mendapat banyak permintaan pelanggan yang inginkan kelainan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 7:01 AM