ACRYL (dua kiri) beramah mesra bersama wartawan yang hadir pada majlis makan tengah hari bersama media.

Kuala Lumpur: Rampasan telefon bimbit daripada 97 anggota sindiket penipuan ‘Macau Scam’ yang ditahan di Pulau Pinang Rabu lalu, membawa kepada penemuan tiga nombor telefon yang digunakan mereka membabitkan 49 kes dilaporkan di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Acryl Sani berkata, kerugian akibat penipuan dijalankan Macau Scam sejak awal tahun lalu mencecah RM2.1 juta.

“Selain peralatan komputer, kereta dan peranti sokongan, kami turut merampas telefon bimbit yang membawa kepada penemuan tiga nombor telefon digunakan sindiket itu untuk menghubungi mangsa.

“Berdasarkan penemuan itu, kami mengesan 49 laporan polis dibuat di seluruh negara termasuk dua kes dilaporkan di Sibu, Sarawak membabitkan mangsa menerima panggilan daripada tiga nombor terbabit,” katanya, semalam.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kejayaan JSJK Bukit Aman dan Pulau Pinang menumpaskan sindiket Macau Scam selepas menahan ahlinya membabitkan warga tempatan, China dan Taiwan di dua lokasi berasingan di Pulau Pinang.

Acryl berkata, taktik digunakan sindiket ialah dengan menyamar sebagai pegawai Bank Negara, bank tempatan selain polis sebelum membuat panggilan palsu terhadap mangsa mengenai masalah kewangan dihadapi ahli keluarga mereka.

“Sindiket ini menjalankan kegiatan penipuan melalui telefon menggunakan kaedah ‘Voice Over Internet Protocol’ (VoIP) untuk membuat panggilan palsu bagi memperdaya mangsa sebelum meminta sejumlah wang.

“Bagaimanapun, mangsa dapat mengesan nombor telefon digunakan suspek yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi di sini ketika mangsa diminta melakukan transaksi kewangan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket terbabit beroperasi di tiga kilang di Juru selain di sebuah banglo di Prai, Pulau Pinang sejak awal tahun lalu berdasarkan laporan polis yang dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:21 AM