WARI (kiri) bersama barang rampasan daripada Geng Chemumar.
Aizat Sharif


Kangar: Kegiatan jenayah seorang remaja lelaki berusia 15 tahun akhirnya ditumpaskan apabila dia bersama tiga lagi rakannya termasuk abangnya berusia 17 tahun yang juga ketua Geng Chemumar ditahan dalam Op Lejang yang dijalankan.

Selain itu, polis turut menemui semula sembilan motosikal curi dengan tujuh daripadanya sudah dileraikan dan dibuang ke dalam sungai di Kampung Behor Mempelam di Tambun Tulang, Arau, yang dipercayai dilakukan kumpulan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, kumpulan itu mempunyai lima anggota termasuk seorang yang masih bebas berusia antara 15 dan 22 tahun dan mereka aktif melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar Kangar, Arau dan Bandar Baharu, Kedah sejak dua tahun lalu.

“Kumpulan ini menggunakan beberapa ‘allen key’ yang diubah suai untuk memudahkan mereka membuka kunci motosikal yang disasarkan sebelum menghidupkannya dan melarikan kenderaan berkenaan.

“Siasatan juga mendapati kumpulan ini melakukan kegiatan jenayah mereka itu di tempat letak motosikal di premis perniagaan di bandar ini, selain Hospital Tuanku Fauziah dan juga beberapa masjid utama di daerah ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini, semalam.

Menurutnya, kumpulan itu juga gemar melakukan jenayah mereka terutama di tempat letak kenderaan masjid terutama ketika jemaah sedang menunaikan solat Maghrib.

Katanya, mereka mensasarkan motosikal seperti Honda EX5 dan Yamaha RXZ kerana mempunyai permintaan tinggi di negeri itu.

“Anggota kumpulan terbabit akan meleraikan motosikal itu untuk dijual kepada pelanggan mereka, manakala rangkanya pula akan dicampakkan ke dalam sungai bagi melupuskan bukti,” katanya.

Wari berkata, polis yang menubuhkan pasukan khas Ops Lejang kemudian berjaya melakukan siri tangkapan termasuk ketua kumpulan berkenaan antara 9 hingga 17 Ogos lalu.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya ‘Geng Chemumar’ terbabit dalam 50 kes kecurian motosikal di daerah ini sejak 2015, namun hanya berjaya menemui sembilan saja motosikal yang dicuri atau menggunakan komponen yang curi daripada motosikal lain,” katanya.

Katanya, selain itu, tujuh daripada motosikal curi yang ditemui semula sudah dileraikan bahagian enjin dan komponen lain seperti ekzos dan lampu sebelum dilupuskan ke dalam sebatang sungai di Tambun Tulang, di sini.

“Enam motosikal yang ditemui itu berkait dengan laporan kehilangan di Kangar, manakala dua kes di Arau dan satu kes dilaporkan di Bandar Baharu, Kedah. Komponen yang dileraikan kebanyakan dijual semula berdasarkan permintaan,” katanya.

Beliau berkata, semua rangka motosikal curi yang dibuang ke dalam sungai di Tambun Tulang berjaya ditemui semula pada 12 Ogos lalu dengan bantuan Unit Selam Polis Marin yang berpangkalan di Pulau Pinang, manakala dua lagi pula ditemui di rumah salah seorang suspek.

“Menerusi saringan ujian air kencing, semua suspek didapati positif mengambil dadah jenis syabu dan kita dapati salah seorang daripada mereka iaitu remaja bawah umur adalah adik kepada ketua kumpulan berkenaan,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, dan dua suspek terbabit didapati mempunyai rekod jenayah membabitkan curi motosikal, penyalahgunaan dadah serta mencabul kehormatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 6:20 AM